Monday, November 28, 2011

Artis baru perlu jaga moral! - Eman Manan


eman manan

Nama Eman Manan dalam industri hiburan tanah air memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Sebagai anak seni yang sudah berkecimpung lebih 20 tahun dalam dunia lakonan, Eman sudah biasa dengan sepak terajang dunia seni.

Bercakap mengenai perkembangan industri hiburan kini, sebagai pelakon senior, Eman mengingatkan artis muda agar menjaga moral supaya tidak dijadikan bahan bualan oleh golongan masyarakat.

Katanya, walaupun artis bukan pejuang moral tetapi moral mereka memang dinilai. Oleh itu, artis harus tahu menjaga batas moral mereka.

"Kenapa makan bersuap di lokasi kalau tidak mahu diceritakan (pasal) makan bersuap. Seorang artis harus bijak apabila menjawab soalan. Saya sendiri tidak pernah melarikan diri apabila diwawancara. Kalau saya diam, itu juga bagi saya masih sebuah jawapan.

"Tapi media juga harus menyediakan ruang yang memberangsangkan. Janganlah terlalu menjurus kepada soalan berbaur peribadi tetapi berikan juga laporan seimbang mengenai kerjaya,” katanya yang meletakkan hubungan antara artis dan media tidak ubah seperti ayam dan telur.

Masih mencari calon

Tatkala diusik-usik soal rumah tangga, aktor itu hanya mampu tersenyum. Malah sempat berseloroh, soalan ini paling mencabar untuk dijawab.

Meskipun sudah lapan tahun menduda, Eman masih belum bersedia untuk kembali bergelar suami dan merasakan banyak perkara yang perlu dilakukan pada waktu ini.

"Berikan saya sedikit masa dan ruang. Sukar untuk menjawab soalan ini kerana perkahwinan memerlukan persediaan. Kita perlu mempersiapkan diri kita, bukan setakat pada kewangan, tetapi juga kerohanian.

"Apabila sudah bertemu wanita yang kita suka dan sayang. Hanya selepas itu kita boleh berkahwin,” katanya.

Walaupun tidak mendedahkan sama ada dirinya sudah mempunyai calon atau tidak, Eman sempat berkongsi kriteria wanita yang menjadi pilihannya.

"Seperti lelaki lain, saya mahukan wanita yang saya suka dan sayang pada saya. Apabila saya sudah bersedia, selepas itu baru saya akan mengahwininya,” katanya lagi.

SH : Belajar dialek Jawa lima hari

Menyentuh mengenai pengalamannya berlakon dalam telefilem dengan dialek Jawa. Siapa sangka, meskipun dilahirkan di Terengganu, Eman berjaya menguasai dialek Jawa dalam hanya lima hari sebelum menjalani penggambaran Parit Jawa.

Bagaimanapun, Eman mengakui pada mulanya agak sukar untuk berbahasa Jawa dalam menjayakan supertelemovie yang akan disiarkan di Astro Box Office Movie Tayangan Hebat (saluran 952) pada Disember ini.

“Bagi saya, semua bahasa sukar jika ianya pertama kali dipelajari. Tapi saya rasa, saya telah berjaya menguasainya. Walaupun tidak dapat menguasai sepenuhnya, namun sedikit sebanyak apa yang saya luahkan dalam cerita ini saya faham maksudnya.

“Mungkin agak pelik bila orang Terengganu berbahasa Jawa. Tapi bagi saya itu semua tidak penting. Apa yang penting adalah mesej cerita Jawa itu sampai kepada penonton tanpa diganggu oleh cara percakapan saya," katanya.

Eman yang baru saja menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin (ASK), mengakui sangat selektif dalam memastikan seorang pelakon itu hadir dengan naskhah yang baik.
Katanya penuh falsafah, dia tidak suka menilai hasil kerja orang lain kerana lebih senang mencari kekurangan diri sendiri.

“Saya selalu dengar orang bercakap mengenai profesionalisme. Jika kita berharap orang lain menjadi terbaik, ia perlu bermula dengan diri kita sendiri terlebih dulu. Saya perlu memulakan langkah profesional supaya orang lain juga akan menjadi seperti kita.

“Saya lebih suka menilai kerja sendiri daripada menilai kerja orang. Saya hanya mahu mengucapkan selamat datang kepada pelakon baru. Saya kira karyawan dulu sudah boleh berlapang dada untuk meninggalkan industri kerana kehadiran pelapis baik lelaki ataupun wanita. Tetapi saya ingin menasihatkan mereka supaya siapkan diri mereka dengan ilmu, bakat saja tidak mencukupi.

“Kehebatan seseorang pelakon itu seperti saya katakan memerlukan pengarah dan naskhah yang bagus. Pengarahlah yang bertanggungjawab mendandan karakter seorang pelakon itu, tetapi industri kita kekurangan pengarah yang besar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: