Monday, November 28, 2011

Aplikasi halal

ROHAIZAD...perluas aplikasi
ROHAIZAD...perluas aplikasi

HALAL Industry Development Corporation (HDC) yang membangunkan teknologi aplikasi halal telefon pintar, iPhone Apps berhasrat untuk melabur sehingga RM100,000 bagi menghasilkan sistem inovasi HTML 5 kepada orang ramai yang tidak terhad menerusi telefon pintar atau tablet saja menjelang suku pertama tahun depan.

Ketika ini, iPhone Apps menyediakan perkhidmatan direktori halal, alat pengesanan global (GPS) lokasi halal serta berita dan pengetahuan mengenai sektor halal sejak awal 2010.


Pengurus Kanan HDC, Rohaizad Hassan berkata, syarikatnya sebelum ini membangunkan aplikasi Apple itu dengan dana permulaan RM100,000 yang mendapat sambutan daripada orang ramai di seluruh dunia dengan 7,872 muat turun kepada 16,390 pengguna dicatatkan sehingga Oktober lalu.

“HDC optimis dengan sistem inovasi HTML 5 diperkenalkan pada suku pertama tahun depan bakal memberi kesan kepada pertumbuhan pengguna aplikasi ini kerana ia tidak memerlukan telefon pintar atau tablet untuk menggunakan aplikasi halal HDC.


“Selain itu, ia turut memudahkan orang ramai untuk membuat capaian terus dengan adanya perkhidmatan Internet di telefon mudah alih atau komputer peribadi,” katanya di Kuala Lumpur.


Rohaizad berkata, aplikasi memberi banyak manfaat kepada orang ramai terutama pemain industri halal untuk menerokai pasaran halal dunia kerana ia mempamerkan pelbagai syarikat yang mendapat sijil kelulusan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang kini berkembang di seluruh dunia.

“Sekiranya orang ramai pergi keluar negara mereka boleh mendapatkan makanan halal daripada restoran yang mendapat persijilan halal daripada Jakim dengan hanya menggunakan aplikasi ini saja. “Selain itu, orang ramai berpeluang untuk memberi maklum balas kepada Jakim mengenai restoran berkenaan daripada segi sudut kebersihan atau perkhidmatan bagi memudahkan pihak berkenaan mempertingkatkan kualiti penghasilan produk halal setiap masa,” katanya.


Beliau berkata, maklumat yang terdapat di dalam iPhone Apps memberi peluang kepada pemain industri dan golongan profesional meninjau perkembangan sektor halal di peringkat tempatan atau global kerana ia memaparkan berita dan maklumat sektor berkenaan dengan pantas.

Menjelang tahun depan, HDC berhasrat membangunkan aplikasi terbabit dalam versi Android bagi memudahkan pengguna mengakses perkhidmatan terbabit menggunakan sebarang alat teknologi canggih

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: