Tuesday, November 29, 2011

Ana Raffali jadi ‘Yang Dipertua Dewan’



Ana Raffali (dua dari kanan) bertindak sebagai ‘Yang Dipertua Dewan’ mendengar hujah yang disampaikan pihak pencadang pada Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti di UiTM, Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 28 Nov. - Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti (Debat 211 Jam) pada hari kelima diceriakan dengan kehadiran penyanyi popular, Ana Raffali yang menjadi ‘Yang Dipertua Dewan’ pada sidang ke-89 di Anjung Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Kehadiran artis yang popular dengan lagu Tolong Ingatkan Aku itu menggamatkan suasana ‘Dewan Rakyat’ yang bersidang pada pukul 1 pagi.

Ana Raffali yang datang serba lengkap berbaju kurung berwarna biru itu memulakan sidang dewan perbahasan antara kerajaan dan pembangkang yang melibatkan pelajar ijazah sarjana muda dari Fakulti Komunikasi Penyiaran Media UiTM.

Beliau yang merupakan Alumni Fakulti Pendidikan (Tesl) UiTM, dilihat begitu komited mengendalikan sidang dewan ala Parlimen itu yang membawa usul perbahasan ‘Pendidikan Seks Wajar Diperkenalkan Di Sekolah Rendah’.

Ana Raffali ketika ditemui selepas mengetuai sidang ‘Dewan Rakyat’ itu berkata, beliau begitu teruja apabila terlibat menjadi salah seorang peserta Debat 211 Jam dalam cubaan memecahkan Malaysia Book Of Records (MBR).

“Kehadiran saya menyertai Debat 211 Jam yang berperanan sebagai ‘Yang Dipertua Dewan’ pada sidang ke-89 mengembalikan nostalgia ketika menuntut di UiTM pada sekitar 2005 hingga 2007.

“Ketika di universiti saya juga merupakan salah seorang pemidato yang aktif selain pernah menjawat jawatan sebagai pengarah program Debat Bahasa Inggeris 50 Jam,” katanya.

Ana Raffali berkata, melalui program debat seperti itu, ia menjadi motivasi dan pengalaman berharga walaupun kini bergelar penyanyi.

Katanya, manfaat yang diperolehi pada program itu menjadi pendorong kepadanya untuk menawarkan diri menyertai Debat 211 Jam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: