Tuesday, November 29, 2011

Akses percuma perkhidmatan pendidikan Maxis


PENERAJU penyedia telekomunikasi bersepadu Malaysia, Maxis Berhad (Maxis) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menjalin perkongsian bijak untuk menyediakan akses percuma kepada perkhidmatan pendidikan utama Maxis menggunakan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekolah yang sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Sandip Das berkata, perkhidmatan baru ini menyediakan pelajar sekolah menengah dengan kaedah pembelajaran yang berasaskan pengalaman dan penerokaan yang boleh diakses online secara percuma.

"Kami berharap bahawa ia akan menjadikan pembelajaran lebih berkesan dan menyeronokkan untuk pelajar.

"Dengan inisiatif ini, kami gembira untuk menyokong usaha kerajaan dalam membina keupayaan, membantu untuk membangunkan sebuah masyarakat masa depan yang celik teknologi, dinamik dan inovatif," katanya dalam satu kenyataan melalui e-mel baru-baru ini.

Kandungan perkhidmatan ini adalah berdasarkan kurikulum pendidikan rasmi yang disampaikan mengikut keperluan pelajar, dan sentiasa diacu untuk menyampaikan satu pengalaman pendidikan yang inovatif.

Kerjasama antara Maxis dan KPM telah dimulakan melalui bengkel sulung yang disertai 120 pengetua dan guru-guru dari 30 buah sekolah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Semasa bengkel, guru-guru dan pengetua dapat mengalami dan meneroka penyelesaian pembelajaran Maxis serta ditunjukkan cara-cara untuk mengintegrasikan penyelesaian tersebut ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) harian mereka.

Untuk mewujudkan rasa teruja menggunakan perkhidmatan ini, Maxis memperkenalkan satu cabaran untuk peserta bengkel yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu cabaran sekolah dan cabaran pelajar.

Cabaran tersebut yang dijadualkan berakhir pada 1 Mac 2012 menawarkan hadiah bernilai sehingga RM10,000 bagi setiap sekolah dan RM1,000 untuk setiap pelajar.

Program ini akan diperluaskan kepada 70 sekolah yang lain untuk menjadikan jumlah keseluruhan 100 sekolah sebelum dilaksanakan di 2,300 sekolah di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: