Thursday, October 6, 2011

Tenggiling RM44,000 dirampas

  • Foto

    SEBAHAGIAN karung berisi tenggiling yang dirampas dalam satu serbuan petang kelmarin.

  • Foto

    DUA lelaki yang ditahan bersama tenggiling.

Sindiket dipercayai jual kepada pengusaha restoran sehingga RM400 sekilogram

ALOR GAJAH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka merampas 25 tenggiling hidup bernilai lebih RM44,000 dalam sebuah bot pancung pada jarak tiga batu nautika dari muara Sungai Duyong, Telok Mas, dekat sini, petang kelmarin.
Pengarah PERHILITAN negeri, Abd Rahim Othman berkata, rampasan itu dilakukan kira-kira jam 6 petang susulan serbuan oleh sepasukan anggota termasuk pegawai penguat kuasa jabatan berkenaan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, dua lelaki tempatan berusia antara 42 hingga 65 tahun yang turut berada dalam bot pancung bernilai kira-kira 20,000 yang turut dirampas itu, ditahan untuk siasatan lanjut selepas dikejar lebih setengah jam.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot yang datang dari arah Pulau Besar menuju Sungai Duyong ini, kita dapati sebanyak 23 tenggiling hidup dan dewasa disembunyikan setiap satu dalam guni berwarna biru, manakala dua lagi yang masih kecil di dalam sebuah guni berasingan.

"Kedua-dua individu yang turut berada dalam bot itu dibawa ke pengkalan penguatkuasaan keselamatan Kuala Linggi, selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen sah mengenai haiwan terbabit,” katanya di sini, semalam.

Tenggiling atau nama saintifiknya, Manis Javanica disenaraikan sebagai hidupan liar dilindungi sepenuhnya di negara ini. Ia dilapor mendapat permintaan tinggi untuk digunakan sebagai hidangan dan tujuan perubatan.
Sentral difahamkan, kegiatan menyeludup haiwan ini di Melaka didalangi oleh satu sindiket yang dipercayai menjualnya kepada pengusaha restoran di sekitar negeri ini pada harga sehingga mencecah RM400 sekilogram.

Abd Rahim berkata, dua individu berkenaan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 68(2)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda minimum RM50,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya kerana memiliki 24 hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.

"Kita berharap orang ramai di negeri ini yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti seperti ini supaya terus tampil membantu PERHILITAN bagi memastikan ia tidak lagi terus berleluasa pada masa depan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: