Sunday, October 30, 2011

Tarian Perang tuntut kreativiti

KEMAS...gerakan yang kemas.
KEMAS...gerakan yang kemas.
SERAGAM...pegawai melakukan aksi dengan seragam.
SERAGAM...pegawai melakukan aksi dengan seragam.

BERWAJAH comot dengan contengan warna alam, mereka beratur kemas di perbarisan manakala dua lelaki bersarung tangan hitam berteriak kuat di tengah padang berbecak.

“Seisi alam di hujung jari! Bersatu kita sampai ke mati! Who we are (Siapa kita)!”

Biarpun hujan mulai rintik, jeritan kuat lelaki selaku ketua itu memecahkan kesunyian petang, malah berjaya menarik kedatangan orang ramai untuk menyaksikan keriuhan drastik walaupun terpaksa berpayung.

Sekumpulan anak muda berwajah garang mula mengukuhkan kekuda sebelum menepuk kuat bahagian paha masing-masing dan menghentak kaki setempat secara serentak.


Gerakan serentak dan bunyian mantap kesan hentakan kasut but kulit milik 52 pelajar bergelar pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu menghasilkan alunan muzik yang bersemangat.


Lengkap beruniform seragam celoreng berwarna hijau, kuning pudar dan hijau, setiap perlakuan mereka diiringi lagu perjuangan dicipta kreatif oleh anak muda dari Batalion Jebat itu.

Di pinggang, tersisip pisau (benet) berukuran 20 sentimeter yang kemudian ditarik keluar, serentak diacu dan melangkah ke depan seolah-olah musuh ingin ditewaskan berada di depan mata.

Setangkas dan sehebat nama pahlawan silam itu, setiap gerakan mereka tampak kemas dan seiringan, sekali gus mampu membuatkan mata yang menonton aksi berkenaan merasai aura kekuatan si Jebat.

Bagi yang baru menyaksikan tarian pelik dengan penuh koordinasi tersusun dan gerak langkah seiringan, pasti menyangka persembahan itu sebagai satu senaman dipraktikkan pegawai latihan ketenteraan.

Namun tanggapan berkenaan salah, sebaliknya gerakan penuh semangat itu dipanggil ‘War Dance’ (Tarian Perang) atau popular dengan gelaran Haka.

Pengarah Akademi Latihan Ketenteraan, UPNM, Lt Kol Chan Weng Poh berkata, War Dance adalah satu tarian semangat untuk menonjolkan ciri-ciri keberanian, keseragaman dan disiplin tinggi bagi satu-satu pasukan.

“Setiap batalion (pasukan) mempunyai identiti war dance sendiri dan tidak menyerupai batalion lain. Jika dulu, ia bertujuan menakutkan pihak lawan ketika bertempur.

“War dance atau haka sebenarnya tarian tradisional warisan temurun orang Maori dari New Zealand. Ia semakin dikenali dunia apabila pasukan ragbi negara itu, All Blacks sentiasa melakukan war dance setiap kali sebelum bermula perlawanan,” katanya.

Menjadi satu-satu universiti tempatan yang memperkenaikan war dance, Chan berkata, sejarah tarian itu bermula pada 2009 oleh bekas Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Zulkifli Zainal Abidin, kemudian disokong barisan pentadbiran seterusnya.

Setiap pelajar yang memasuki UPNM dibahagikan kepada empat batalion iaitu Tuah, Jebat, Kasturi serta Lekir tanpa mengira bidang perkhidmatan sama ada darat, udara mahupun laut, dan mereka dikehendaki mencipta bendera, lambang, cogan kata, lagu, dan paling penting war dance.

Menjadi identiti batalion, idea menghasilkan war dance selalunya diperoleh daripada pegawai kadet yang juga pelajar. Hampir setiap idea diberikan mempunyai gerakan dan gaya segar, lembut tetapi agresif untuk mempamerkan kekuatan batalion terbabit.

Menurut Chan, war dance tidak menetapkan tempoh masa persembahan, sebaliknya ia mengikut kesesuaian sesuatu acara atau majlis.

Menafikan tiada pembabitan golongan Hawa, beliau mengakui war dance bukan dikhaskan bagi satu-satu jantina, malah wanita setaraf dengan kehebatan pegawai lelaki.

Terbaru, UPNM berjaya memecah rekod Malaysia Book of Records pada 30 September 2011 apabila persembahan war dance terbesar sempena Festival Konvokesyen UPNM 2011 menampilkan penyertaan 1,121 pegawai kadet.

Sementara itu, pelajar Tahun Dua Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Farisyamil Jfri, 20, menganggap war dance sebagai satu platform memupuk semangat perjuangan.

Lebih membanggakan, Farisyamil bergelar ketua kerap menyertai persembahan war dance mewakili universiti ketika membabitkan perlawanan sukan antara universiti lain.

“Kali pertama menyaksikan war dance, saya terkejut kerana tidak pernah menyaksikan gerakan seperti itu. Sejak itu, saya mengkaji sejarah haka dan mencipta war dance bagi Jebat,” kata anak muda berasal Muadzam Shah, Pahang itu.

Aktif menyertai war dance, Farisyamil sentiasa menantikan peluang membuat persembahan bagi universiti.

Pelajar Pengurusan dan Strategi Pertahanan, Nursyafikah Asilah Ilias, 18, mengakui mulai jatuh cinta terhadap seni gerakan berkenaan biarpun sebelum ini kekok mengikut langkahnya.

Selepas dua minggu berlatih war dance, Asilah menjadi lebih yakin, apatah lagi dengan bantuan kadet senior serta mengulang kaji menerusi video rakaman.

Memiliki personaliti kelakar, dia terpaksa belajar untuk berubah serius ketika melakukan rutin war dance.

Baginya, war dance meninggalkan kesan terhadap hidupnya apabila dia lebih matang ketika menguruskan perjalanan sebagai pelajar, kadet, anak dan kakak dalam satu masa.

Baginya, war dance sesuai dilakukan sesiapa saja tanpa diskriminasi jantina, seterusnya memupuk semangat kerjasama di kalangan pegawai kadet.

Pelajar perkhidmatan laut dari Pendang, Kedah, Muhamad Syazuan Haridan, 19, mengakui berbangga beruniform ala tentera ketika menunjukkan war dance kepada universiti lain.

Katanya, keunikan UPNM terletak kepada war dance kerana tiada universiti tempatan lain memiliki ciri sama, selain ia mengajar erti keyakinan diri untuk berdepan masalah.

Anak kepada pegawai tentera laut ini berkata, bapanya antara orang bertanggungjawab membuatkan dirinya meminati kerjaya beruniform.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Strategi Pertahanan, Nazirul Shafiq Azahari, 19, kesenian war dance terletak kepada keseragaman seni mempertahankan diri tentera dilakukan secara serentak dan bersemangat.

Katanya, dia kerap menghabiskan masa untuk menyaksikan rakaman video persembahan war dance milik senior semata-mata ingin menambah kemahiran pergerakannya dan idea baru.

Anak sulung daripada empat beradik ini mengakui sebelum ini keluarga bimbang dengan keselamatannya namun selepas menyaksikan kesungguhannya, mereka mula menyokong minat berkenaan.



INFO:

  • War dance atau haka berasal daripada tarian tradisional kaum Maori di New Zealand

  • Dipopularkan pasukan ragbi New Zealand, All Blacks kerana sentiasa melakukan war dance setiap kali sebelum bermula perlawanan

  • Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) satu-satunya universiti
    tempatan yang mempunyai war dance

  • Mencipta rekod baru dalam Malaysia Book of Records menerusi persembahan war dance terbesar membabitkan 1,121 pegawai kadet pada 30 September 2011
  • 3 comments:

    1. sebenarnya info yang mengatakan UPNM merupakan satu-satunya universiti yang mempunyai War Dance adalah salah. Banyak lagi institusi yang mempunyai pusat latihan pegawai turut memiliki war dance sendiri malah, boleh dikatakan lebih lama sebelum UPNM.

      ReplyDelete
      Replies
      1. Setakat War Dance jer UPNM dah sibuk......PALAPES IPTA lain dah buat lama dah....ada 12 IPTA ada PALAPES..kena ingat tu.....Bekas Pegawai PALAPES

        Delete
    2. msk book of record.. U laen ade? wkakaka

      ReplyDelete

    Tinggalkan Komen Anda Sini: