Monday, October 31, 2011

Rahsia graduan cemerlang UTHM


Navinderjeet Singh Gurder Singh dan Faisal Sheikh Khalid (kanan) gembira bersama pingat dan ijazah yang mereka peroleh pada majlis Konvokesyen UTHM ke-11 di Batu Pahat kelmarin.


BATU PAHAT 30 Okt. – Siapa sangka seorang remaja nakal yang pernah ‘digertak’ oleh bapanya untuk dihantar ke sekolah pesalah juvana, Henry Gurney berjaya berubah sehingga menerima Anugerah Diraja Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada majlis konvokesyen UTHM di sini, semalam.

Demikian kisah graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Navinderjeet Singh, 24, yang merupakan anak kepada seorang anggota polis berpangkat koperal, Gurder Singh, 52.

Pencapaian graduan itu tentunya lebih manis apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli menyampaikan Anugerah Diraja itu.

Menurut Navinderjeet, sebagai anak kepada seorang anggota polis, dia kurang takut kepada polis, justeru dirinya sering bertindak nakal sewaktu kanak-kanak dan remaja.

“Disebabkan terlalu nakal, ayah yang mahu melihat saya berubah cuba menakutkan-nakutkan dengan menyatakan mahu menghantar saya ke Sekolah Henry Gurney.

“Mujur seiring peningkatan usia, saya semakin berubah dan mula serius dalam pelajaran, malah saya juga pernah menerima Anugerah Canselor pada 2008 semasa pengajian Diploma juga di UTHM,” katanya.

Navinderjeet kini merupakan seorang jurutera projek di Mumbai, India di bawah sebuah syarikat pembinaan tempatan, Maya Deco.

Di sebalik cerita kejayaannya, Navinderjeet berkata, dia hadir seorang diri tanpa ditemani ayah dan ibu ketika menerima Anugerah Diraja kerana kedua orang tuanya itu perlu menziarahi bapa saudaranya yang meninggal dunia kerana serangan jantung, kelmarin.

“Bagaimanapun, ayah dan ibu akan hadir esok (hari ini). Saya memahami keadaan yang berlaku dan amat menantikan kehadiran mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Diraja, Faisal Sheikh Khalid, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam menyifatkan anugerah yang diterima adalah hadiah terbaik untuk ayahnya yang telah meninggal dunia lima tahun lalu manakala ibunya yang merupakan seorang suri rumah adalah sumber inspirasinya dalam mengejar kejayaan.

Berasal dari daerah ini, Faisal yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik, kini bertugas sebagai jurutera di syarikat Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd, (MMHE) di Pasir Gudang, Johor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: