Monday, October 31, 2011

Pelincir minyak masak


Mohd. Hafiz menunjukkan contoh minyak masak yang telah diproses menjadi minyak pelincir di Serdang, Selangor, baru-baru ini.


Bermula daripada minyak masak yang terpakai dan tidak lagi boleh digunakan ia kini boleh ditukar menjadi minyak pelincir berteknologi hijau.

Menurut Pembantu Penyelidik dari Fakulti Kimia dan Kejuruteraan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Mohd. Hafiz Abdul Majid, minyak masak tersebut perlu melalui beberapa proses sebelum ia boleh dijadikan minyak pelincir.

Ujarnya, proses tersebut ditemui oleh pensyarah Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr. Robiah Yunus.

"Pada peringkat awal ia perlu diproses secara berperingkat-peringkat sebelum boleh digunakan," katanya ketika ditemui di Pameran Reka Cipta, Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) 2011 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Jelas Hafiz proses pertama adalah pemeringkatan methyl ester kemudian proses transestrefication dan soap removal, terakhir proses methyl ester recovery melalui ATFE (Agitated thin Film Evaporator).

Minyak pelincir kebiasaannya dihasilkan melalui petrolium, namun berikutan ia semakin mahal penggunaan minyak masak terpakai dilihat lebih menjimatkan.

"Minyak pelincir kitar semula tersebut boleh digunakan dalam kerja-kerja besi, pelincir hidraulik serta minyak enjin", ujarnya.

Minyak kitar semula yang dikenali sebagai Green lubricant ini juga lebih mesra alam berikutan ia dihasilkan daripada kelapa sawit.

Produk ciptaan Dr. Robiah ini juga telah menarik minat pihak swasta iaitu Solution Biogen Sdn. Bhd. untuk dikomersialkan, untuk maklumat lanjut anda boleh emailkan pertanyaan kepada Dr. Robiah di alamat emel robiah@eng.upm.edu.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: