Monday, October 31, 2011

Golf antara aktiviti amal FFM24


Beberapa artis memukul melakukan putting sebagai tanda perasmian Kejohanan Golf Amal Selebriti 2011 di Tropicana Golf Country Resort, Petaling Jaya, baru-baru ini.


PELBAGAI cara digunakan oleh Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) bagi menarik perhatian masyarakat terhadap penganjuran Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 November ini.

Antaranya dengan menganjurkan Kejohanan Golf Amal Selebriti 2011 membabitkan golongan artis seperti penyanyi, pelakon, pemuzik dan pengarah filem serta peminat yang akan diadakan di Tropicana & Country Resorts, Petaling Jaya, Selangor pada 10 November ini.

Menurut Pengerusi Pengelola kejohanan itu, Wani Wendy Wong melalui syarikat miliknya dan Nancie Foo, Produksi Seni Dua Puluh Dua Puluh Sdn. Bhd., selain sebagai salah satu aktiviti bagi merancakkan penganjuran FFM24, ia juga bertujuan mengutip dana bagi tujuan kebajikan.

"Pada kejohanan itu, selain bertanding merebut hadiah utama sebuah kereta Audi A1 berharga RM180,000, para peserta juga boleh menderma ke tabung yang disediakan. Malah, bayaran penyertaan untuk satu flight atau kumpulan VIP dikenakan RM3,000.

"Sementara bagi satu kumpulan biasa pula bayaran penyertaan yang dikenakan ialah RM2,000. Setiap satu flight mempunyai empat anggota. Seramai 120 peserta dijangka akan menyertai kejohanan ini nanti," katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sebahagian daripada hasil kutipan derma pada kejohanan golf yang julung-julung kalinya dianjurkan sempena ketibaan FFM itu akan disumbangkan kepada beberapa badan kebajikan termasuklah Pertubuhan Kebajikan Pesakit Austisme Malaysia.

Jelas Wani yang juga merupakan penerbit dan pelakon drama televisyen terkenal tanah air, kejohanan yang akan diadakan mulai pukul 7 pagi hingga 2 petang itu secara tidak langsung membuka peluang para peminat bermain golf bersama lebih 22 selebriti terbabit.

Antara selebriti yang sudah mengesahkan penyertaan mereka pada Kejohanan Golf Amal Selebriti 2011 ialah Datuk Ahmad Tamimi Saregar, Harun Salim Bachik dan Betty Banafe di mana menerusi kejohanan itu para peserta juga disediakan dengan banyak hadiah lumayan.

"Selain hadiah utama sebuah kereta Audi A1, para pemenang juga berpeluang memenangi pakej percutian ke Pulau Bali, Indonesia dan China selain produk-produk kecantikan yang nilaiannya mencecah sehingga RM2,000.

"Malah, kami juga akan mengadakan cabutan bertuah di mana para peserta akan membawa pulang 20 peratus daripada keseluruhan duit derma yang disumbangkan oleh para peserta pada kejohanan itu. 80 peratus daripada kutipan derma itu akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Gafim, Jurey Latiff Rosli berkata, penganjuran Kejohanan Golf Amal Selebriti 2011 itu diharap dapat menarik lebih banyak tumpuan di kalangan peminat filem tempatan selain pada masa sama membantu golongan artis yang kurang bernasib baik.

Pada masa sama katanya, penganjuran aktiviti seperti itu boleh memberikan kelainan dalam aktiviti FFM24 sebelum ia berlangsung serta menarik lebih banyak pihak terutamanya penaja bagi menyokong penganjuran festival filem berprestij itu.

"Kami sengaja memilih sukan golf kerana ramai artis Malaysia seperti Hattan misalnya, seorang pemain golf yang hebat. Selain Hattan, ramai artis kita yang boleh bermain golf kerana sukan ini tidak asing lagi kepada mereka sebagai aktiviti di masa lapang.

"Pada masa sama, ini adalah salah satu peluang untuk para peminat berjumpa, beramah mesra sambil bermain golf bersama-sama dalam satu kumpulan flight. Sambil bermain golf, mereka juga berpeluang memenangi hadiah lumayan sambil menderma," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: