Monday, October 31, 2011

Ekspresi pakaian kreatif


RADZUAN RADZIWILL mempamerkan koleksi pakaiannya yang berasaskan batik warna-warna lembut.


SEJAK bulan Oktober 2011 sehingga Januari 2012, orang ramai dijemput hadir menyaksikan pameran pakaian kreatif yang dipamerkan di Galeri Petronas, Suria KLCC Kuala Lumpur.

Pameran yang bertemakan Irresistible Wear itu menyaksikan 48 karya hasil rekaan dan kreativiti 12 pereka fesyen serta tekstil berkaliber tanah air.

Pameran Irresistible Wear merupakan platform bagi penggiat seni fesyen tempatan mengekspresi pakaian unik, inovatif dan menawan yang memiliki elemen tersirat untuk diamati serta dinilai oleh para pengunjung.

Dalam pada itu, pada pameran berkenaan pengunjung tempatan mahupun antarabangsa berpeluang melihat ciri-ciri teknikal dan aspek perincian yang diselitkan pada setiap rekaan serta tekstil yang dihasilkan.

Menurut Pengurus Besar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan, Petronas, Datuk Mohammad Medan Abdullah, Galeri Petronas bukan sekadar galeri yang mengangkat kreativiti seni lukis malah turut berfungsi secara holistik ke arah pembangunan kepelbagaian seni buat masyarakat Malaysia.

“Pameran ini membolehkan kami memberi penghargaan, penghormatan dan galakan kepada para pereka fesyen dan seniman untuk terus berkarya.

“Paling penting, pameran ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengunjung tempatan dan antarabangsa mengenai seni fesyen tempatan,” jelas Mohammad pada majlis pelancaran pameran Irresistible Wear yang dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.


PENGUNJUNG berpeluang melihat koleksi pakaian dan tekstil hasil rekaan pereka fesyen serta pereka tekstil profesional.


Pada majlis tersebut orang ramai berpeluang menyaksikan pertunjukan fesyen yang dihasilkan oleh empat pereka profesional seperti Datuk Radzuan Radziwill, Datin Sharifah Kirana, Faizal Abdul Hamid dan Eddie Yap. Menariknya, setiap rekaan yang ditonjolkan mengangkat keistimewaan lakaran batik yang halus dan eksklusif.

Mood ceria

Salah seorang pereka fesyen yang terlibat, Faizal, 40, menghasilkan empat pasang busana yang banyak bermain dengan rona hitam.

Namun koleksi fesyennya yang diberi nama Feminine Mystique itu diserikan dengan cantingan batik warna-warna terang bagi menyuntik mood ceria.


GAUN formal batik rekaan Datin Sharifah Kirana.


“Hitam itu elegan dan mempesonakan. Ia menggambarkan sisi sofistikasi dan keanggunan seseorang wanita itu apatah lagi setiap koleksi saya menampilkan potongan baju yang bercirikan puteri diraja zaman dahulu.

“Jika diperhatikan, meskipun puteri kepahlawanan Melayu tangkas bersilat tetapi mereka tetap menitikberatkan soal penampilan diri. Maka, dari situ lahirnya idea untuk menghasilkan pakaian yang menggabungkan konsep fesyen feminin dan berani,” jelas Faizal ketika ditemui Stailo pada pameran tersebut.

Selain Faizal, pameran berkenaan turut menonjolkan karya seni rekaan Edric Ong, Adnan Hassan, Akma Suriati, Asliza Aris, Zainol Salleh, Eddie Yap, Fion Poon, Prof. Madya Hasnul Jamal Saidon dan Abdul Hamid Hassan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: