Thursday, August 25, 2011

Zain nak cari tapak di Indonesia

Pelakon kacak berwajah Inggeris, Zain Saidin sudah lebih setahun menjadi pelakon sepenuh masa. Lakonannya semakin baik dan peminatnya juga bertambah ramai. Tapi nampaknya wajah kacukan miliknya tidak membawa tuah.

Dia sukar mendapat tawaran melakonkan watak utama dalam drama lakonan kerana tidak memenuhi tuntutan skrip yang menampilkan pemuda Melayu sebagai peran utama. Zain terus dapat peluang dengan watak pembantu.

Zain berjiwa Melayu sejati.

Ia pasti menimbulkan rasa tidak selesa apatah lagi dia tidak pernah merasakan dirinya sebagai orang asing kerana dibesarkan dengan cara Melayu sepenuhnya. Sedikit sebanyak situasi itu membuatkan Zain mula terfikir untuk mencari peluang di Indonesia.

Sementelah wajah persisnya memang mudah mendapat peluang dalam drama di sana. Wajah pan asian bukanlah masalah besar, malah memberi kelebihan kepada pelakon Indonesia. Lihat saja Ashraff Sinclair dan Miller. Apatah lagi bayaran berlakon di sana lebih lumayan bagi pelakon popular.

"Sebenarnya saya sudah dapat tawaran untuk berlakon di sana. Sudah beberapa pihak menyatakan kesediaan menerima saya. Saya menunggu masa yang sesuai untuk ke sana.

"Suami kakak saya, Sashakan orang sana, jadi dia ada kenalan yang bekerja dalam produksi. Tapi saya belum bersedia kerana mahu menempatkan nama di sini dulu. Saya rasa nama saya belum cukup kuat di Malaysia.

"Tapi kalau dalam masa setahun lagi saya masih lagi berada di peringkat ini, barulah saya akan mencuba nasib di sana pula. Bukannya membawa diri, sebaliknya mencari peluang untuk meningkatkan diri dalam bidang lakonan.

Wajah kacak Zain boleh jual di Indonesia.

"Saya juga belum boleh bertutur bahasa Indonesia dengan baik, jadi dalam tempoh itu saya boleh belajar," kata Zain.

Raya cara Melayu

Melihat penampilannya pasti ada yang berasakan cara Zain dan keluarga menyambut hari raya agak berbeza. Zain menafikannya kerana mereka menyambutnya dengan cara Melayu sepenuhnya.

"Ibu saya kan sudah lama di sini dan dia membesarkan saya dengan cara Melayu. Jangan tak tahu lontong masakan mak saya antara juadah kegemaran keluarga. Kalau ahli keluarga nak makan lontong pada hari raya, mereka akan cari di rumah kami.

"Tahun ini kami beraya di rumah Sasha sebab rumah keluarga saya sedang diubahsuai. Sasha akan jadi tuan rumah," kata Zain lagi.

Zain seronok pada musim hari raya kerana jalan raya lengang dan pergerakan ke mana sahaja mudah dan cepat.

Otot-otot badan mengecil

Semasa awal-awal melibatkan diri dalam lakonan, Zain tampil dengan gaya sasa seorang lelaki, tapi sekarang otot-ototnya semakin mengecil dan dia juga kelihatan semakin kurus.

"Sekarang saya sibuk sangat sehingga tak ada masa untuk ke gimnasium. Dulu saya tinggal di Subang dan jarak ke gimnasium hanya dua minit sahaja. Sekarang jarak gimnasium dengan rumah jauh sikit. Bila dah penat tu, rasa malas nak ke gimnasium.

"Tak apalah sebab bila berlakon ini kalau badan besar sangat tak sesuai... ada yang kata saya nampak pendek kalau otot-otot besar sangat. Tapi saya akan mengembalikan otot-otot kerana saya memang sukakan badan macam itu," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: