Sunday, August 28, 2011

Visi jitu Syed Mohd Razif

MANTAP...Syed Mohd Razif bersama warga kerja Kumpulan Sri Sutra.
MANTAP...Syed Mohd Razif bersama warga kerja Kumpulan Sri Sutra.
PANTAU...Syed Mohd Razif memantau kakitangan syarikatnya bekerja.
PANTAU...Syed Mohd Razif memantau kakitangan syarikatnya bekerja.

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Itulah gambaran ringkas bagi menceritakan suka duka Datuk Syed Mohd Razif Al Yahya Syed Yassin bergelar usahawan Bumiputera yang berjaya dalam mengendalikan syarikat besar dalam dunia pengembaraan tempatan dan agensi pelancongan.

Mengimbas pembabitannya dalam dunia perniagaan, Syed Mohd Razif mengakui tidak menyangka mampu melangkah jauh dalam bidang berkenaan.

Selepas menamatkan zaman persekolahan pada 1981, beliau mulanya bercita-cita untuk menjadi pramugara. Namun, hasratnya tidak kesampaian disebabkan faktor fizikal.

“Saya teringin sangat menjadi pramugara masa itu. Saya mahu mengembara dan melihat dunia luar.


“Pun begitu, impian saya tidak kesampaian sebab saya pendek. Memang melucukan, tetapi itulah sebabnya saya tidak dapat menjadi pramugara,” kata Syed Mohd Razif memulakan ceritanya.


Bagaimanapun, kegagalan menjadi pramugara tidak menghalang minat mendalam untuk mengembara dan melihat dunia luar. Beliau mengambil inisiatif lain dengan menceburi dunia pengembaraan tempatan dan agensi pelancongan.

Pada 1983, beliau memulakan karier dalam bidang berkenaan bersama syarikat tempatan, Mitra Malaysia sebagai wakil jualan produk pelancongan. Pembabitan dalam bidang ini secara tidak langsung mengubah nasib hidup beliau.

Sebagai wakil jualan, Syed Mohd Razif bertemu orang ramai di pelbagai peringkat. Selama 10 tahun di syarikat itu, pelbagai pengalaman diperoleh, malah beliau diberi tanggungjawab menubuhkan syarikat baru dengan jawatan Pengurus Besar pada 1992.

Begitu pun, beliau mula terfikir mengapa bukan dia sendiri menubuhkan syarikat berkenaan. Rakannya juga ketika itu banyak memberi galakan untuk Syed Mohd Razif supaya menubuhkan sendiri perniagaan itu.

“Ketika itu, modal dalam tangan hanya RM20,000. Namun, abang ipar banyak memberi galakan dan sanggup mengeluarkan modal bersama jika saya benar-benar mahu meneruskan minat membuka agensi pengembaraan dan pelancongan sendiri.

“Tanpa menoleh ke belakang, saya teruskan tekad dan berusaha mencari jalan untuk menubuhkan syarikat. Ia bukan jalan mudah untuk saya tempuhi,” katanya.

Sebagaimana beliau jangkakan, usaha menubuhkan syarikat memang banyak halangan dan kekangan ketika itu. Untuk memudahkan usahanya, langkah pertama beliau lakukan ialah cuba mengambil alih syarikat sedia ada.

“Kebetulan pada masa itu, saya dapat sebuah agensi pelancongan milik usahawan dari Sabah, Sri Sutra Travel Sdn Bhd (Sri Sutra) yang ingin dijual dengan harga RM100,000.

“Dengan bantuan abang ipar dan tiga rakannya yang menyuntik modal tambahan, kami berjaya memiliki syarikat ini,” katanya.

Sejak itu, Syed Mohd Razif terus mara bersama syarikat baru miliknya, dan akhirnya berjaya mendapat kontrak daripada Petronas selain kakitangan kerajaan bagi menguruskan hal ehwal pengembaraan mereka.

Pada 2004, beliau berjaya membeli bangunan empat tingkat sekarang di Pusat Perniagaan Pekeliling pada harga RM3.6 juta. Kini, beliau terus maju dengan Sri Sutra dengan menaiktaraf syarikat kepada Kumpulan Sutra Utama dan memiliki lapan anak syarikat.

Tidak salah mengatakan, Syed Mohd Razif boleh dianggap gergasi dalam bidang ini, terutama membabitkan usahawan Bumiputera.

“Dalam apa juga yang saya lakukan, saya meletakkan visi jitu bagi kejayaan syarikat. Daripada mula menerajui syarikat ini, saya memang berhasrat melihat syarikat ini menjadi gergasi dalam bidang pengembaraan dan pelancongan Bumiputera.

“Saya berbangga dapat mengecapi semua ini selepas sekian lama berhempas pulas merealisasikan impian terbabit. Apapun, ia perjuangan yang belum selesai, banyak lagi yang akan saya usahakan untuk memartabatkan Sri Sutra,” katanya.

Sebagaimana usahawan berjaya lain, Syed Mohd Razif memang bercita-cita tinggi.
Sejak zaman kanak-kanak lagi, beliau mengakui sifat berkenaan tertanam dalam diri.

“Kalau ikutkan, dalam bidang pelajaran saya tidaklah sepandai mana pun. Saya mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua kali, yang terakhir saya hanya peroleh pangkat dua (pada 1981).

“Namun, saya percaya ia bukan kelemahan yang menafikan saya untuk berjaya seperti orang lain, saya percaya di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” katanya.

Mengimbas latar belakang dirinya, di dalam keluarga beliau anak lelaki tunggal daripada empat beradik. Ketika kecil, kakak sulung bersekolah asrama dan kakak nombor dua menetap bersama ibu saudara.

“Sebagai anak ketiga, hanya saya tinggal di rumah. Emak berniaga kedai makan manakala ayah sering masuk hutan kerana bertugas sebagai anggota polis di Kem PGA Ulu Kinta, Perak,” katanya yang mempunyai jarak 15 tahun dengan adik bongsu.

Setiap hujung minggu dan cuti sekolah, beliau sering membantu ibunya berniaga dan daripada situ, Syed Mohd Razif mula mengenali dunia perniagaan.

“Selain membantu emak, ketika di sekolah rendah saya jual aiskrim berharga lima sen kepada polis yang berkawad. Saya juga berniaga baju, but askar dan pelbagai barangan lain ketika di sekolah menengah.

“Saya juga pernah bantu emak jual permaidani dan main ‘kutu’ untuk dapatkan duit lebih. Dalam soal mencari wang poket, saya sudah biasa sejak kecil lagi dan mungkin sebab itu juga saya mampu berdikari dalam dunia perniagaan dan seterusnya berjaya seperti sekarang,” katanya.

Tidak dinafikan, hari ini syarikat miliknya yang ditubuhkan pada 1992 cukup gah dan berkeupayaan menyediakan 20,000 produk pelancongan di seluruh dunia serta 200 pakej pelancongan di lebih 30 negara.

Malah, syarikatnya juga agensi pelancongan Bumiputera pertama memperkenalkan konsep francais, sekali gus merancang melahirkan 25 usahawan francais di seluruh negara.

Membanggakan, daripada modal permulaan RM100,000 dengan hanya lima kakitangan, syarikat milik penuh Syed Mohd Razif itu kini mencatat perolehan RM55 juta setahun bersama tenaga kerja seramai 70 orang.



PROFIL:

NAMA: Datuk Syed Mohd Razif Al Yahya Syed Yassin
USIA: 48 tahun
LAHIR: 21 April 1963 di Alor Setar, Kedah

JAWATAN: Pengarah Urusan Kumpulan Sutra Utama; Bekas Presiden Pengembaraan dan Pelancongan Bumiputera Malaysia

ANAK SYARIKAT: Sutra Utama Sdn Bhd; Sri Sutra Travel Sdn Bhd; Sutra Franchise Sdn Bhd; Sutra Network Sdn Bhd; Sutra Aviation Sdn Bhd; Sutra Technology (Octraves Technology Sdn Bhd), Sutra Global Planners Sdn Bhd dan Sutra Travel Management Sdn Bhd

ISTERI: Sharifah Wahida Al Idroos Syed Omar
ANAK: Sharifah Raudhah (21), Sharifah Rabihah (19) dan Syed Abdullah Redha (13)

PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Kebangsaan Ashby Road, Ipoh, Perak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: