Friday, August 26, 2011

Tumpas di R&R

RAMPAS...Nordin Kadir menunjukkan beg komputer riba yang digunakan suspek untuk menyimpan dadah.
RAMPAS...Nordin Kadir menunjukkan beg komputer riba yang digunakan suspek untuk menyimpan dadah.

SHAH ALAM: Helah pengedar dadah menjadikan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Ulu Bernam, Kuala Kubu Baru sebagai ‘port’ pengedaran dadah tidak berhasil berikutan penahanan dua orang, Isnin lalu.

Seorang lelaki dan seorang wanita yang berada dalam sebuah kenderaan ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di kawasan berkenaan selepas anggota polis mengintip kegiatan mereka.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata hasil serbuan menemui lima bungkusan plastik disyaki dadah jenis heroin dalam Mercedes-Benz yang dinaiki kedua-dua suspek.

“Dalam serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, kami menahan seorang lagi lelaki di kawasan berhampiran R&R itu.


“Tangkapan itu turut membawa kepada penemuan tiga lagi bungkusan plastik disyaki heroin di rumah sewa suspek lelaki pertama di Petaling Jaya,” katanya ketika pada sidang media di IPK Selangor di sini, semalam.


Semua lapan peket dadah yang ditemui itu dianggarkan seberat 3.3 kilogram dan bernilai RM74,000. Polis percaya dadah berkenaan dibawa dari Pulau Pinang untuk diedarkan di Lembah Klang.

Sementara itu, cubaan seorang lelaki warga Nigeria menyeludup syabu seberat 1.3 kilogram bernilai RM260,000 ke negara ini gagal selepas ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Lapangan Terbang KLIA, Isnin lalu.


Lelaki berumur 28 tahun itu ditahan sejurus tiba dari penerbangan Doha di balai ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira jam 4 petang.

Nordin berkata, suspek dipercayai pertama kali memasuki negara ini berdasarkan rekod pada pasport suspek.


“Pemeriksaan terhadap beg komputer bimbit suspek mendapati ia mengandungi bungkusan dadah disyaki jenis syabu yang ditemui tersorok.


“Suspek yang juga penjual alat ganti motosikal di negaranya direman seminggu sehingga Isnin ini,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum gantung mandatori jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: