Thursday, August 25, 2011

Mencari kepuasan melalui kerja sukarela


Mohd. Azry Ahmad (tiga dari kiri) tidak kekok menjalankan tugas-tugas sukarela.


Mungkin kita sering bersimpati terhadap mereka yang bernasib malang tetapi sejauh mana kita ada keberanian 'turun padang' untuk membantu golongan ini.

Sekadar cakap memang mudah. Tetapi untuk benar-benar melaksanakan tugas ini sesungguhnya memerlukan komitmen dan kesungguhan yang luhur.

Sememangnya tidak mudah bergelar sukarelawan kerana bukan sahaja terpaksa berkorban masa malah bersedia untuk bekerja secara percuma serta perlu pula berdepan dengan tekanan dan cabaran.

Inilah bakti suci yang bukan sahaja tidak mengharapkan balasan tetapi amat bermakna lagi khususnya di bulan Ramadan yang mulia ini.

Gadis berusia 26 tahun, Nazihah Rusli akui mula sebati dengan kerja-kerja sukarela ini semenjak menuntut di universiti.

Selepas menamatkan pengajian ijazah TESL di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun lalu dia mula menjadi sukarelawan bersama Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (Muslim Aid) sejak lima bulan yang lalu.

"Sekalipun sekarang saya sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana, tetapi di hujung minggu dapat digunakan untuk mengajar kanak-kanak di Asrama Darul Falah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) (ASDAF),'' katanya.

Anak kelahiran Alor Setar itu memberitahu: "Sukar untuk dijelaskan kepuasan melakukan kerja amal ini kerana ia lebih membahagiakan daripada saya keluar berjalan-jalan bersama dengan rakan sebaya."

Bagaimanapun kata Nazihah, keputusannya menjadi sukarelawan tepat kerana sekurang-kurangnya dia dapat menabur bakti kepada masyarakat sekalipun bukan dengan wang ringgit.

Nazihah tidak kisah berada di asrama itu pada setiap hujung minggu kerana hatinya menjadi lebih gembira apabila dapat meluangkan masa bersama-sama mereka.

Di bulan Ramadan pula biasanya dia akan bersama-sama dengan kanak-kanak itu untuk membimbing mereka ketika bertadarus.

"Selain itu kami juga akan bersama-sama menunaikan solat wajib dan juga solat sunat terawih,'' katanya ketika ditemui di asrama berkenaan yang terletak di Cangkat Persekutuan, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yusuf Glanfield, 34, dari Cape Town, Amerika Selatan pula mula menjadi sukarelawan dengan Muslim Aid hasil daripada melayari Facebook ketika menjejakkan kaki ke negara ini sejak dua tahun lalu.

Cerita Yusuf, dia memang pernah menjadi sukarelawan ketika bertugas di beberapa negara sebelum menetap di Malaysia.

Pengalaman yang paling tidak dilupakan apabila menjadi sukarelawan di bumi Palestin di mana ia betul-betul memberikan Yusuf pengalaman yang cukup terkesan di hati sehingga ke hari ini.

"Disebabkan sudah biasa melakukan tugas sukarela maka ketika berada di sini saya mula mencarinya menerusi Internet kerana sekurang-kurangnya dapat menabur bakti ketika tinggal di sini,'' katanya yang bertugas sebagai guru bahasa Inggeris di British Council.

Dengan kepakaran yang ada, Yusuf menjadi tenaga pengajar di ASDAF.

"Sekalipun di sini tugas saya cuma mengajar bahasa Inggeris tetapi biasanya saya tidak sekadar mengajar sahaja,'' katanya.

Yusuf mempelbagaikan teknik pengajaran termasuk menjalankan aktiviti permainan dan sebagainya supaya ia tidak membosankan kanak-kanak di situ.

Melihatkan kemesraan Yusuf dengan kanak-kanak di asrama itu sudah menunjukkan bahawa dia bukan sahaja sudah diterima dengan baik malah menjadi tempat untuk bergurau senda.

"Mereka juga sudah tidak kekok lagi untuk bergaul dengan saya sekali gus ini memudahkan tugas saya untuk mengajar,'' katanya.

Jelas Yusuf, dia bukan setakat mengajar bahasa Inggeris malah turut membantu kanak-kanak ini untuk menyiapkan kerja-kerja sekolah mereka.

Dari situ, kata Yusuf, dia dapat bergaul dengan lebih rapat dengan kanak-kanak itu yang disifatkannya bernasib baik kerana apa pihak seperti Perkim yang membantu mereka untuk hidup lebih berjaya sebagai muslim dan juga generasi akan datang.

Sekalipun hujung minggunya dipenuhi dengan tugas mengajar kanak-kanak di situ tetapi Yusuf memberitahu dia puas kerana berpeluang untuk menabur bakti untuk saudara sesama Islam.

Mohd. Azry Ahmad, 28, pula berkata, walaupun sibuk mengendalikan perniagaan Bom Kitchen tetapi pemuda yang mempunyai kepakaran dalam bidang masakan ini tetap sanggup meluangkan masa hujung minggu di ASDAF.

"Minat untuk menjadi sukarelawan ini sudah lama cuma saya tidak tahu di mana hendak bermula sehinggalah pada suatu hari saya bertemu semula dengan rakan lama, Muhammad yang kini bertugas di Muslim Aid,'' katanya.

Tugasnya pada setiap Sabtu dan Ahad adalah menjadi tenaga pengajar kelas bahasa Inggeris untuk kanak-kanak di asrama berkenaan.

Biasanya kata Mohd. Azry, kelas berkenaan akan mengambil masa dari dua hingga tiga jam.

"Bagi saya tiada istilah penat atau jemu sebaliknya rasa puas yang sukar untuk diterjemahkan apabila berkesempatan untuk membantu mereka supaya menjadi lebih baik dari semalam,'' ujarnya.

Sekalipun dia akui memang mempunyai cabaran mengajar kanak-kanak ini tetapi sehingga kini dia berjaya melaluinya dengan tenang.

Jelas Mohd. Azry ada masanya beliau juga akan turut membantu di dapur jika sekiranya ada pihak yang menganjurkan jamuan di asrama berkenaan. Bagi pemuda ini peluang menabur bakti ke atas anak-anak ini sememangnya telah berjaya memberikan semangat untuknya lebih yakin dalam mendepani apa juga cabaran kepada dirinya.

Sekurang-kurangnya dia puas kerana masih tidak melupakan golongan yang tidak bernasib baik khususnya pada bulan Ramadan yang mulia ini sekalipun sibuk dengan kerjaya tetapnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: