Friday, August 26, 2011

Hiasan seramik dari India


Haslin Abu Hurairah memerhatikan salah seorang pekerjanya memeriksa laci hiasan yang diimport dari India.


PERHIASAN yang diperbuat daripada seramik semakin mendapat tempat di hati peminat barangan hiasan.

Ini kerana, selain cantik dengan pelbagai bentuk, gaya dan warna, ia juga tahan lebih lama.

Jika dilihat daripada sejarahnya, seramik sebenarnya telah digunakan sejak zaman dahulu kala lagi.

Orang dahulu dilihat gemar menggunakan kelengkapan rumah yang diperbuat daripada seramik termasuk pinggan mangkuk untuk kegunaan harian.

Begitupun, perhiasan seramik hari ini dilihat dalam skop yang lebih luas dan berbeza termasuk dalam pelbagai kegunaan seperti peralatan pinggan mangkuk, bekas telur serta barangan hiasan dalaman yang direka mengikut cita rasa pengguna.

Menyedari barangan daripada seramik ini semakin digemari ramai, Pengarah Urusan Artistica International Sdn. Bhd., Haslin Abu Hurairah tidak melepaskan peluang melebarkan sayap perniagaannya dengan memasarkan produk tersebut di negara ini.

Membawa masuk produk tersebut dari India, menurut Haslin, ia merupakan produk pertama di Malaysia seumpamanya.

Tidak menafikan barangan seramik banyak di pasaran hari ini, tetapi jelas Haslin, produk yang dipasarkan oleh syarikatnya istimewa kerana segala corak yang dihias di permukaan seramik tersebut adalah hasil lukisan tangan pekerja-pekerja di sana.

Bukan itu sahaja, barangan seramik tersebut merupakan barangan hiasan yang mempunyai laci-laci kecil dan 'badannya' dihasilkan daripada kayu pokok mangga.

"Segala corak yang dihasilkan pada barangan seramik ini dibuat secara tradisional dan ia sememangnya difokuskan untuk pasaran antarabangsa.

"Seramik ini bukan sahaja dipasarkan di Malaysia, malah ia turut dieksport ke negara-negara Eropah.

"Untuk pengetahuan bersama, barangan perhiasan daripada seramik ini sebenarnya begitu popular di kalangan penduduk Eropah berbanding di Malaysia yang masih kurang mendapat sambutan," ujarnya ketika ditemui di premis perniagaannya yang terletak di 65G, Jalan Lawan Pedang 13/27, Sseksyen 13, Shah Alam, Selangor.

Menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata ini lagi, apa yang diharapkan daripada kemasukan produk tersebut ialah ia dapat memenuhi permintaan mereka yang begitu gemarkan barangan hiasan seramik di samping ingin berkongsi dengan rakyat Malaysia.

Bercerita lanjut mengenai perniagaan seramiknya yang baru menjangkau empat bulan, jelas anak kelahiran Petaling Jaya ini, ia merupakan perniagaan keduanya.

Sebelum ini, Haslin merupakan seorang usahawan wanita yang membekalkan peralatan keselamatan kepada syarikat serta jabatan kerajaan yang telah diusahakan sejak lapan tahun yang lalu.

Selain ingin mengembangkan lagi perniagaannya, perniagaan seramik tersebut ia juga sebagai memenuhi hobinya yang gemarkan barangan perhiasan seramik.

Berbicara mengenai proses penghasilan seramik tersebut, menurut Haslin, ia bukanlah satu proses yang mudah.

Ini kerana proses pembakarannya sahaja mengambil masa sehingga 18 jam.

Bahan pewarnanya pula diimport dari Jerman dan telah disahkan selamat untuk digunakan bersama makanan.

Menyedari akan sensitiviti rakyat Malaysia hari ini, pihaknya telah melakukan pelbagai ujian termasuk proses makmal untuk produk tersebut.

Dalam pada itu, Haslin turut memberitahu bahawa penggunaan kayu pokok mangga sebagai 'badan' barangan perhiasan tersebut turut melalui proses 'rawat' beberapa peringkat untuk mengelakkan daripada serangan anai-anai dan kulat selain dapat memanjangkan jangka hayat kayu tersebut.

"Setelah melalui proses 'rawatan' , kayu pokok mangga tersebut dipercayai boleh bertahan sehingga 100 tahun lamannya," tambahnya lagi.

Disebabkan produk tersebut masih lagi baru dipasaran, Haslin menyatakan ia kini ditempatkan di pejabatnya dan akan dialihkan ke bilik pameran baru di sekitar kawasan Shah Alam tidak lama lagi.

Begitupun, pihaknya turut mengalu-alukan mereka yang berminat untuk berniaga menjadi pengedar barangan tersebut.

Kesemua barangan tersebut boleh diperoleh pada harga semurah RM45 hingga RM400.

Bagi mereka yang berminat sama ada untuk membeli barangan hiasan seramik ini ataupun ingin menjadi pengedar, anda bolehlah hubungi talian 012-7639645 (Aisyah) ataupun layari lama web www.artisticainternational.blogspot.com.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: