Friday, August 26, 2011

David Teo Bina Studio Filem Di Cyberjaya

David Teo

KUALA LUMPUR: Penerbit filem dan drama, David Teo mengakui desas-desus yang mengatakan dia telah membeli sebidang tanah di Cyberjaya bagi tujuan pembinaan sebuah studio filem yang akan dilakukan pada tahun depan.

Bagaimanapun, David yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG) enggan mengulas lanjut perkara itu kerana segala urusan yang berkaitan masih berada pada peringkat awal.

"Saya tidak menafikan sudah membeli sebidang tanah di Cyberjaya yang bernilai puluhan juta ringgit untuk perancangan membina sebuah studio filem sendiri.

"Bagaimanapun, semuanya masih terlalu awal dan belum ada apa-apa keputusan lagi tentang projek itu buat masa ini.

"Yang baru selesai hanya pembelian tanah tetapi urusan lain yang membabitkan pihak-pihak lain masih dalam perbincangan," katanya yang dihubungi mStar Online, Khamis.

Tambahnya, memandangkan segalanya masih terlalu awal, dia belum mendapat gambaran khusus dan belum bersedia untuk berkongsi dengan terperinci akan butiran projek itu kepada umum.

"Saya cuma baru beli tanah dan belum ada idea atau gambaran yang lebih terperinci tentang dakwaan untuk membina studio filem itu.

"Bukan tidak mahu berkongsi tetapi masih terlalu awal. Saya mohon diberikan sedikit masa untuk uruskan beberapa perkara dulu sebelum menghebahkan perancangan ini kepada umum," katanya.

Ditanya adakah keputusan untuk membeli tanah dan membina studio filem di Cyberjaya bertujuan untuk menyaingi operasi KRU Studios milik adik-beradik KRU, David berkata, sebagai usahawan pembinaan studio itu adalah untuk perkembangan perniagaannya dan bukan untuk menyaingi KRU.

"Saya beli tanah itu untuk kemajuan perniagaan filem saya. Ia sama sekali tidak berniat untuk bersaing atau cuba mengatasi operasi KRU Studios atau sesiapa pun.

"Sebagai orang berniaga, saya buat perancangan ini untuk perkembangan perniagaan sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: