Sunday, August 28, 2011

Bukan sekadar pelapor


WARTAWAN Kosmo!, Zaki Salleh (dua dari kiri) mewakili petugas media Pulau Pinang menyampaikan bantuan kepada Hasliza di Balik Pulau semalam.


BALIK PULAU - Setelah mengharungi keperitan akibat kematian suami, Hasliza Abdullah kini mampu mengukir senyuman apabila sekumpulan wartawan di Pulau Pinang mengambil inisiatif membantu wanita itu bersama lima anaknya menyambut hari lebaran.

Lebih 30 wartawan, jurufoto dan jurukamera daripada semua media cetak dan elektronik termasuk Kosmo! membeli keperluan harian dan menghiasi rumah Hasliza di Pondok Upeh di sini semalam.

Hasliza, 38, yang baru kematian suaminya pada Julai lepas akibat penyakit buah pinggang menerima barangan keperluan harian selain turut mendapat perkakasan bernilai lebih RM2,000.

Dia yang merupakan suri rumah kepada lima orang anak bergantung hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan sejak tahun lepas.

Suaminya, Allahyarham Norafendi Che Ros, 38, pemandu bas Rapid Penang meninggal dunia setelah menderita penyakit buah pinggang, darah tinggi dan lumpuh selama setahun.

Hasliza mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah iaitu Nurul Farhana Fatin, 17, Nurul Aishah, 15, Nurul Ain Nabila, 11, Mohd. Amirul Azim, 9, dan anak bongsunya Nurul Anis Najihah, 5, yang masih belajar prasekolah.

"Terima kasih kepada semua. Ini hadiah hari raya yang bermakna," katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Sementara itu, Pengarah JKM Pulau Pinang, Zulkifli Ismail berkata, wartawan di negeri itu telah membuktikan bahawa mereka bukan sekadar pelapor mengenai kesusahan orang tetapi turut menghulurkan bantuan.

Katanya, JKM juga berharap kerja-kerja terpuji sedemikian dapat diteruskan saban tahun.

Pada majlis itu, golongan wartawan turut menganjurkan majlis berbuka puasa dan tahlil beramai-ramai di rumah Hasliza.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: