Friday, August 26, 2011

Berkongsi nikmat berbuka


masyarakat islam Kampot turut membantu menyembelih dan memposes kambing untuk sajian berbuka puasa.


Ramadan adalah bulan rahmat dan berkat. Bulan di mana kita terdorong melakukan kebaikan dan kebajikan serta kurang berkeinginan melakukan maksiat dan keburukan.

Ini sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Apabila masuk bulan Ramadan, terbukalah pintu-pintu rahmat dan tertutuplah pintu-pintu neraka serta terbelenggulah syaitan-syaitan (daripada merasuk mangsanya). (riwayat Muslim)

Untuk itu, sebagai saudara seagama, sewajarnya kita membantu golongan yang kurang kemampuan seperti umat Islam di Kemboja. Inilah yang dilakukan oleh warga kerja Asian Finance Bank (AFB) dan Akademi Imam Syafie (AIS).

Misi delegasi yang diketuai oleh Naib Presiden dan Ketua Jabatan Syariah AFB, Mohd. Zamerey Abdul Razak dengan empat rakan adalah menyampaikan sumbangan para dermawan dari Malaysia untuk majlis Iftar (berbuka puasa) Jamaie di Kemboja.

Tumpuan penyerahan sumbangan adalah di Wilayah Kampot yang terletak kira-kira 140 kilometer dari Phnom Penh. Perjalanan dari ibu negara Kemboja menggunakan kenderaan darat ke Kampot mengambil masa kira-kira dua jam.

Wilayah Kampot adalah kawasan kedua paling ramai penduduk Islam selepas Wilayah Champa. Populasi Kemboja dianggarkan 13 juta orang dengan penduduk Islamnya dianggarkan lebih sedikit daripada 1 juta orang.

Terdapat 370 perkampungan Islam yang amat daif. Mereka memerlukan al-Quran dan buku-buku agama, membiayai pembinaan masjid serta sekolah agama.

Zamerey berkata, rancangan asal hanya mengadakan majlis berbuka puasa hasil sumbangan warga kerja AFB.

Bagaimanapun, hasil promosi yang dilakukan oleh rakan-rakan, ramai yang tampil menyumbang untuk program tersebut yang dilaksanakan pada 19 hingga 21 Ogos lalu.

"Alhamdulillah dalam tempoh tiga minggu sejak awal Ramadan, kita berjaya mengumpul kira-kira RM16,500 di mana semuanya telah diagihkan kepada lapan masjid," katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Masjid-masjid berkenaan adalah Masjid As-Syakirin, Kg. Keh, Kampot (200 orang); Masjid Kg Krong, Kampot (200 orang); Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Kg. Kedap, Kampot (300 orang), Masjid Kg. Twi, Kampot (100 orang); Masjid Muhammad Al-Jabri Kg. Tepiang Tepau, Kampot (350 orang), Masjid Kg. Priang Pring, Kampot, (100 orang); Masjid Ali Bin Abi Tolib, Kg. Andong, Kampot (100 orang) dan Masjid Kg. Prai Tenor, Kampot (150 orang).

Kesemua masjid tersebut mendapat tajaan berbuka puasa bermula 20 Ramadan hingga akhir Ramadan. Bagaimanapun, majlis berbuka puasa di Masjid Kg. Keh, Kampot diadakan awal iaitu pada 6, 12, 19 dan 20 Ogos hingga ke akhir Ramadan.

Menurut Zamerey, tajaan berbuka puasa juga disalurkan kepada Masjid Ammar Bin Yasir di Kg. Kilometer 9, Phnom Penh untuk dua hari dengan kehadiran 150 orang.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang yang telah menjayakan program iftar tahun ini," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Yayasan Kemanusiaan Untuk Pembangunan yang juga wakil AIS di Kemboja, Sulaiman Hasan berkata, sumbangan itu dapat menceriakan suasana berbuka puasa umat Islam di Kemboja.

Katanya, biasanya masyarakat Kemboja berbuka puasa dengan roti, bubur atau laksa dan buah-buahan tetapi melalui sumbangan AFB dan AIS mereka dapat menikmati juadah berbuka puasa yang lebih istimewa.

"Bagi kami, menu roti dengan kari daging adalah sajian istimewa dan hanya boleh dinikmati melalui program tajaan begini," katanya.

Pada majlis berbuka puasa di Kampung Keh, empat ekor kambing disembelih untuk dijadikan lauk utama iaitu kari kambing.

Menurut Sulaiman, Kampot mempunyai kira-kira 40,000 orang Islam dan 33 masjid.

Katanya, kebanyakan penduduk adalah nelayan kecil yang bergantung kepada hasil laut yang tidak seberapa. Biasanya hasil jualan adalah RM3 dan hanya cukup untuk beli dua kilogram beras.

"Di sini ada kawasan tanaman padi tetapi hanya boleh diusahakan sekali setahun kerana masalah pengairan," katanya.

Dalam pada itu, Mudir Sekolah Dubai Islam Phnom Penh dan juga Imam Masjid Ammar Bin Yasir, Muhammad Daud Qasim berkata, pihaknya mengadakan kutipan derma daripada ahli kariah untuk majlis berbuka puasa.

Katanya, kos berbuka puasa setiap hari adalah antara RM150 ke RM300 bergantung kepada menu yang dihidangkan.

"Kalau ada roti, bubur dan air botol kosnya menjangkau RM300 semalam. Alhamdulillah kita mendapat sumbangan daripada AFB dan AIS untuk berbuka puasa.

"Dengan duit itu, dapatlah kita menyajikan makanan yang istimewa sedikit kepada 1,500 keluarga Islam di sini," jelasnya.

Muhamad Daud berkata, masjid yang dibina pada tahun 1992 itu boleh memuatkan 4,000 jemaah pada suatu masa.

Katanya, pada 10 malam akhir Ramadan, masjid turut mengadakan qiamullail selain solat tarawih dan tadarus al-Quran

"Saya mengucapkan terima kasih kepada para penderma yang menyumbang untuk majlis berbuka puasa kami di Kemboja," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: