Sunday, July 31, 2011

NATO bom pemancar satelit


SEKUMPULAN penduduk melaungkan slogan perjuangan ketika menghadiri majlis pengkebumian ketua Abdel-Fattah Younis di Benghazi kelmarin.


BRUSSELS, Belgium - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyatakan, jet-jet perangnya telah mengebom beberapa stesen pemancar televisyen satelit Libya kerana binaan itu digunakan untuk mengapi-apikan keganasan dan mengancam orang awam.

Satu kenyataan NATO memberitahu, serangan awal semalam itu akan mengurangkan keupayaan rejim pemimpin Libya, Muammar Gaddafi untuk menekan orang awam.

Badan tentera itu berkata, Gaddafi sebelum ini menggunakan kemudahan tersebut untuk menghasut dan menggerakkan penyokongnya supaya menentang pemberontak Libya.

Serangan terbaru NATO itu dibuat selepas kedudukan pemberontak Libya agak kucar-kacir susulan kematian ketua tentera mereka, Abdel-Fattah Younis.

Beberapa saksi memberitahu, Abdel-Fattah Younis dibunuh oleh rakan sepasukannya pada minggu ini ketika beliau berada dalam tahanan.

Ketua tentera itu ditangkap atas arahan kepimpinan pemberontak Libya kerana disyaki belot terhadap mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: