Wednesday, June 29, 2011

Zulkifeli teruskan kecemerlangan


Azizan Ariffin (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Zulkifeli Mohd. Zin sebagai simbolik serah tugas sambil disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KEWUJUDAN sesuatu organisasi bukan hanya perlu dilihat, malah ia perlu 'dirasai'. Dalam sektor swasta dan perbankan, contohnya, sesebuah organisasi itu boleh dianggap lebih mudah dirasai dan dikenali kerana ia berurus niaga secara langsung dengan masyarakat setiap hari.

Keadaan ini berbeza dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempunyai cabaran menjenamakan ketumbukan itu. Dengan dasar negara yang banyak berdiplomasi dalam hubungan antarabangsa, ATM dilihat jarang terlibat dalam konflik atau menyelesaikan sesuatu masalah melalui perang.

Ia berbeza dengan negara-negara lain di dunia yang agresif dalam bidang ketenteraan seperti Amerika Syarikat (AS) dan China. Dengan terlalu banyak penglibatan dalam konflik dunia, sudah tentu angkatan tentera kedua-dua negara itu lebih 'popular' di kalangan masyarakat masing-masing.

Menyedari hakikat itu, ATM perlu lebih mendampingi masyarakat awam dalam usaha menjenamakan pasukan tersebut supaya ia lebih dekat di hati rakyat.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dalam ucapan Perintah Ulungnya Jumaat lalu menggariskan lima fokus pasukan itu dalam memastikan ia sentiasa relevan.

Ia termasuk aspek pengukuhan kelakuan organisasi dan hubungan tentera dengan masyarakat awam.

Jelas kedua-dua perkara itu menzahirkan hasrat ATM untuk lebih mendekati hati dan minda masyarakat untuk terus menyokongnya.

"Dengan sokongan dan pengorbanan anda semua ATM akan akan terus relevan. Pengukuhan lima aspek ini juga memberi keupayaan kepada ATM mewujudkan kesan cegah rintang ke atas musuh.

"Legasi ATM dalam mempertahankan negara akan ditulis dengan tinta emas dalam sejarah negara, jangan sesekali lalai atau terlalu mengagungkan keselamatan masa lalu.

"Perkasakan imej kita dan tingkatkan keyakinan rakyat ke atas kita," katanya pada majlis di Kem Tentera Darat Sungai Besi, Kuala Lumpur tersebut.

Zulkifeli mengambil alih tampuk pemerintahan tertinggi ATM sebagai Panglima Angkatan Tentera Ke-18, menggantikan Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin 15 Jun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: