Wednesday, June 29, 2011

Panic sudah ramal


PERJUANGAN Panic akhirnya berakhir pada minggu lalu.


TIDAK menduga sehingga mampu berada di kelompok lima terbaik dalam rancangan realiti tarian Showdown 2011, Panic, sebenarnya sudah meramal akan penyingkiran mereka pada minggu lalu.

Kata wakil kumpulan Panic: “Harapan utama kami untuk tersenarai sebagai kumpulan tujuh terbaik sudah tercapai, menjadi krew lima teratas pun sebenarnya di luar dugaan.”

Tambah mereka, penyingkiran pada minggu lalu sudah dijangka memandangkan kekurangan mereka sendiri mempamerkan persembahan yang berkualiti berdasarkan tema yang dipilih.

“Tema Magic bukan sesuatu yang senang untuk dikoreografkan menjadi persembahan tarian apatah lagi jika tidak punyai masa yang cukup untuk berlatih,” maklumnya yang berdepan dengan kekangan masa berlatih dek undangan persembahan dan bengkel tarian.

Selain itu, masalah penggunaan peralatan magis yang dibekalkan untuk persembahan juga menjadi halangan untuk menampilkan taring satu-satunya kumpulan yang terdiri daripada semua wanita itu.

“Peralatan pertunjukan magis yang diberikan kepada kami kurang serasi untuk direalisasikan dalam persembahan tarian dan disebabkan itulah perjalanan persembahan kami sedikit terganggu,” ujarnya tentang kumpulannya itu yang diberikan lagu Check It Out nyanyian Will.I.am bersama Nicki Minaj.

Bagaimanapun, tema Magic tidak menjadi halangan bagi kumpulan Elecoldxhot (ECX) yang sentiasa berada dalam kelompok teratas pada setiap minggu.

Berpandukan lagu populat Rihanna, S&M ditambah magis lampu kelip-kelip merah dan gerakan tari serta koreografi yang sempurna, ECX akhirnya terselamat daripada tersenarai dalam kalangan empat kumpulan terbawah.

Bounce Stepperz (BOS) yang mempertaruhkan bakat kombinasi tarian tradisional dan moden menerusi lagu Raise Your Glass oleh Pink pula mendapat komen positif daripada ahli silap mata Anslem Roy Eric yang diundang menjadi juri jemputan.

Begitu pun, kegagalan untuk tampil versatil pada pusingan battle pertama bertemu Rokusteps (RKS) meletakkan pasukan itu di tangga dua terbawah untuk berentap dalam pusingan battle tambahan menentang Panic.

Dua lagi pasukan HMC Phlow (HMC) dan Rokusteps yang masing-masing mempersembahkan teknik tarian tersendiri menerusi lagu Pause (Pittbull) dan Dirty Dancer (Enrique Iglesias) terselamat daripada penyingkiran minggu lalu apabila memenangi pusingan battle pertama.

Kini hanya tinggal empat lagi pasukan dan satu lagi penyingkiran untuk berentap di pusingan akhir pada 6 Julai nanti.

Kumpulan mana yang bakal tersingkir pada minggu depan? Adakah Bounce Stepperz, Rokusteps, HMC Phlow atau Elecoldxhot?

Sama-sama kita nantikan keupayaan masing-masing dalam pusingan akhir penyingkiran bertemakan Show Me Watcha’ Got pada malam ini, pukul 9.30 malam secara langsung dari i-City Shah Alam, Selangor di saluran 8TV.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: