Thursday, June 30, 2011

Menentang Raja Albion


MENENTANG musuh adakalanya terlalu sukar dan boleh membuatkan pemain berputus asa.


FRANCAIS popular Fable yang memiliki peminat tersendiri kini menguji kepakaran pemain dalam siri terbaharu Fable 3. Dengan mempertaruhkan platform PC yang diterbitkan baru-baru ini dan versi Xbox 360 yang telah lama menemui pemain pada tahun lepas, ia bakal menguji daya imaginasi pemain.

Fable 3 adalah hasil usaha sama Lionhead Studios (permainan video Black & White) dan juga Microsoft Game Studios.

Kerajaan Albion

Dalam siri terbaharu ini, pemain akan memilih watak seorang Putera atau Puteri semasa permulaan permainan untuk mengetuai satu revolusi penentangan terhadap Raja Albion.

Raja Albion adalah abang kepada watak utama yang menjadi pemerintah kuku besi dengan menindas rakyat Albion.

Fable 3 mengisahkan tentang nasib Albion 50 tahun selepas kemunculan dan pemerintahan hero dalam siri sebelum ini.

Pemain diperlukan untuk mengumpul dan merekrut ahli revolusi, membantu rakyat serta orang ramai. Di samping itu, permainan terbaharu ini turut menuntut pemain membuat pilihan sama ada menjadi pemimpin yang telus ataupun kejam.

Cara permainan

Pemain yang gemar bermain permainan Kingdom Hearts tentu sekali dapat mengimbas permainan tersebut apabila Fable 3 dipenuhi pelbagai elemen fantasi dan magis.

Pergerakan dan pemandangan pemain adalah dari sudut orang ketiga. Bagaimanapun, pemain boleh menggunakan mod orang pertama apabila menggunakan senjata api.

Sistem heads-up display (HUD) yang mengetengahkan paparan informasi di skrin adalah ringkas dan mudah untuk dikawal sekali gus memberi ruang kepada pemain untuk mendalami unsur permainan lain.

Dalam pada itu, pemain juga dapat menjelajah dunia Albion yang cukup besar dan apabila tiba setiap bandar, terdapat misi tertentu menanti mereka.

Sambil menyelesaikan misi yang disediakan di bandar-bandar tersebut, mereka juga perlu menghabiskan misi utama.

Road to Rule

Watak utama merupakan seorang hero yang telah dipilih secara istimewa. Justeru itu, pemain akan dapat memasuki Road to Rule apabila seorang wanita tua misteri menghulurkan bantuan kepada pemain sepanjang permainan dalam mengumpul ahli revolusi.

Fungsi Road to Rule adalah untuk membeli set pakaian, rambut, koleksi ekspresi dan kebolehan berniaga. Ia juga berfungsi untuk menaik taraf tiga jenis senjata utama Fable 3.

Senjata tersebut adalah melee (pedang dan tukul), senjata api dan sarung tangan magis. Semua ini memerlukan Guild Seals yang boleh diperoleh dengan membunuh musuh ataupun berbuat baik kepada orang ramai.

Sanctuary

Pada bila-bila masa, pemain boleh memasuki Sanctuary iaitu sebuah tempat persembunyian untuk hero Albion. Apabila berada di sini pemain boleh menggunakan peta dunia untuk mengembara, menukar pakaian, memilih set senjata, melihat pencapaian dan membuka hadiah yang telah diberikan oleh orang ramai.

Interaksi rakyat

Pemain boleh berinteraksi dengan orang ramai untuk mendapatkan Guild Seals. Terdapat pelbagai tahap interaksi yang boleh digunakan pemain tetapi ia bergantung kepada matlamat pemain sama ada untuk menjadi baik ataupun jahat.

Interaksi boleh dikatakan amat teliti kerana ia boleh membuatkan pemain memilih mengahwini penduduk sesuatu negeri dan memulakan satu keluarga. Pemain juga mampu untuk berniaga dengan memiliki rumah-rumah sewa dan membeli kedai-kedai perniagaan.

Fable 3 adalah sebuah permainan yang menampilkan kedalaman dan ketelitian dunia Albion.

Selain daripada itu, struktur permainan yang ditawarkan kepada pemain agak kemas dan menghiburkan.

Mereka pasti akan berasa kagum dengan tahap permainan yang mesra pengguna. Bagaimanapun, pemain mungkin berasa bosan kerana banyak berjalan untuk menyelesaikan sesuatu misi.

Kadangkala tahap kesukaran musuh juga terlalu sukar sehingga membuatkan pemain ingin berputus asa.

Beberapa klasifikasi telah diberikan untuk permainan ini, namun kesemuanya telah memberikan Fable 3 klasifikasi Mature iaitu untuk pemain 17 tahun ke atas sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: