Wednesday, June 29, 2011

Lawatan kerja Mapems ke Brunei


Selain bertukar-tukar fikiran lawatan Mapems turut menjalin ukhuwah sesama muslim antara Malaysia dan Brunei.


MAJLIS Permuafakatan Masjid dan Surau (Mapems) Parlimen Setiawangsa menganjurkan satu lawatan kerja ke Brunei Darussalam dan Wilayah Persekutuan Labuan dari 5 hingga 8 Jun lalu.

Antara intipati utama lawatan kerja itu adalah berkongsi pengalaman dan kaedah-kaedah pengurusan masjid dan surau di Parlimen Setiawangsa dengan rakan-rakan di Brunei dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ia juga bagi menilai sistem pengurusan dan pentadbiran di kedua-dua tempat tersebut dan kesesuaiannya diguna pakai di kawasan Parlimen Setiawangsa.

Selain itu, membantu menambah baik sistem pentadbiran sedia ada supaya lebih sistematik dan berkualiti di samping mengangkat martabat syiar Islam ke persada yang lebih dinamik dan unggul.

Delegasi 57 orang diketuai oleh Ahli Parlimen Setiawangsa yang juga penaung Mapems, Datuk Seri Zulhasnan Rafique. Turut serta, Omar Said yang mewakili Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Sepanjang lawatan, delegasi mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Hal Ehwal Ugama negara Brunei pada 6 Jun 2011. Delegasi disambut oleh Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam, Pengiran Bahrom Pengiran Bahar.

Sementara itu, ahli-ahli delegasi turut melawat Masjid Omar Ali Saifuddien, di Bandar Seri Begawan. Ketibaan rombongan dialu-alukan oleh pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU.

Di situ, ahli-ahli rombongan diberi taklimat mengenai sejarah pembangunan masjid berkenaan yang antara lainnya mula dibina pada 4 Februari 1954, di atas sebidang tanah seluas 1.25 hektar berdekatan dengan pinggir Sungai Brunei.

Masjid itu dirasmikan pembukaannya Maulana Al-Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan Brunei ke-28 pada 26 September 1958. Ia boleh menampung 3,000 jemaah pada sesuatu masa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: