Wednesday, June 29, 2011

Hadiah hari jadi Ning!

Sungguhpun penyanyi bersuara soprano ini bertaraf DIVA, namun ia bukan menjadi laluan mudah melahirkan album. Kali terakhir, penyanyi yang popular dengan lagu Awan Terpilu dan Ke Sayup Bintang, ini, muncul dengan album solo lapan tahun lalu.

Dalam tempoh itu, pelbagai liku dan dugaan yang terpaksa ditempuhinya. Kini setelah lama menanti, akhirnya Ning Baizura, kembali dengan album solo berjudul Dewa, sekali gus menjadi hadiah paling bermakna buat hari lahirnya ke-36, semalam.

Walaupun terpaksa menunggu hampir dua tahun untuk proses pembikinan album itu, Ning tetap berpuas hati dan mengharapkan agar ia dapat mengubat rindu peminatnya.

“Peminat saya sudah lama menunggu album baru, kali terakhir pada 2004 menerusi album Pertemuan.

“Saya juga rasa ini masa yang baik dan sesuai untuk keluar dengan album solo. Ini kerana, selama lapan tahun saya tidak mengeluarkan album dan hanya kekal serta dikenali dengan lagu ‘Awan Yang Terpilu’ saja,” katanya kepada Zass.

Menyentuh tentang penggunaan nama Dewa, Ning menjelaskan pemilihan tajuk album membawa makna ‘cahaya baru’ dalam kerjaya nyanyiannya.

“Dewa dalam bahasa Sanskrit membawa makna cahaya dan secara tidak langsung, album ini umpama penerang kerjaya nyanyian.

“Album ini begitu bererti buat saya apatah lagi saya berpeluang mencorak sendiri keseluruhan Dewa dengan bantuan Audi Mok selaku penerbit bersama. Setiap dendangan umpama cerita dari bab ke bab fasa kehidupan baru ini,” katanya yang turut menghasilkan lirik bagi lagu Propaganda.

Menyingkap semula penghasilan buah tangan terbarunya, Audi Mok antara komposer yang memahami kehendak hingga mendapat kepercayaan memastikan setiap inci garapan Dewa memenuhi kehendak semasa.

“Sebelum memilih lagu, saya banyak bertanya kepada band popular masa kini termasuk Hujan tentang konsep sesuai untuk sesebuah album. Saya tidak malu bertanya pendapat orang muda kerana perlu diakui muzik mereka sedang hangat sekarang.

“Boleh diibaratkan album Dewa adalah cabaran yang cukup mengujakan. Sepanjang merakam lagu, ada saja yang kami lakukan untuk mencantikkan melodi dan liriknya,” katanya yang pertama kali menerbitkan album sendiri dengan sanggup menghabiskan puluhan ribu.

Tambah Ning, jika sebelum ini peminat lebih mengenalinya dengan suara soprano, album Dewa menampilkan sisi berbeza dari segi vokal.

Memuatkan lapan lagu, Dewa, mempertaruhkan Raksasa, Mama Papa, Propaganda, Bila, Sampai, Alhamdulillah, Pencarian dan Aku Bukan Dewa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: