Wednesday, June 29, 2011

Farish Aziz Sertai Suria FM Sabah

Farish dan Rey ketika mengendalikan segmen pagi di Suria FM Sabah.

PETALING JAYA: Pengacara dan pelakon Farish Aziz bakal menyertai Suria FM Sabah secara rasmi bermula 1 Julai ini.

Farish yang baru mendirikan rumah tangga pada Januari lalu kini menetap di Kota Kinabalu, Sabah menganggap keputusan tersebut untuk mengisi masa terluangnya di negeri itu.

“Mereka pernah tawarkan saya Februari lalu untuk menjadi deejay di Sabah tapi saya minta masa untuk berfikir dahulu memandangkan saya baru sahaja berkahwin.

“Saya setuju selepas berbincang tentang jadual tugas saya dengan pihak pengurusan Suria FM dan mereka tidak melarang untuk saya meneruskan kerjaya sebagai pengacara.

“Lagi pula daripada saya tiada apa pekerjaan di sana lebih baik saya ambil tawaran ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Farish bakal mengendalikan segmen pagi bermula pukul 6 hingga 10 pagi bersama deejay Ray.

Tambahnya, dia telah memulakan tugas tersebut sejak Isnin lalu bagi mencari keserasian dan membiasakan diri dengan tanggungjawab barunya itu.

“Saya sudah beberapa hari bertugas dan Alhamdulilah seronok dapat berkomunikasi dalam bahasa Sabah.

“Sebelum ini apabila berada di depan kemera saya terpaksa bercakap dalam bahasa Malaysia yang kadang kala membuatkan saya tersasul,” ujarnya.

Jelas Farish, cabaran utamanya adalah untuk menarik pendengar Sabah yang sememangnya mempunyai pilihan deejay mereka sendiri.

“Cabaran utama ialah saya tidak dikenali di Sabah dan kebanyakan deejay di Sabah adalah daripada kalangan artis realiti yang sememangnya mereka kenali.

“Saya perlu tarik perhatian mereka dan bermula dari bawah sebab melalui radio mereka hanya mendengar suara sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Farish, dia tidak mempunyai sebarang masalah berikutan mempunyai pengalaman menjadi deejay di stesen radio Era FM sebelum ini.

“Saya pernah mengendalikan carta 30 di Era bersama Jimmy Shanley pada tahun 2007-2008.

“Ketika itu mereka tawarkan untuk jadi deejay sepenuh masa di stesen tersebut tetapi saya terpaksa menolak kerana mempunyai banyak komitmen lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penyiaran Suria FM, Yusri Abu Samah berkata Farish merupakan calon yang paling layak dan menjadi pilihan masyarakat Sabah.

"Kita telah membuat beberapa kejian dan menyenaraikan beberapa nama calon dan nama Farish merupakan yang paling popular.

"Dia juga berasal dari Sabah dan mempunyai pengalaman dalam bidang penyiaran radio ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: