Wednesday, June 29, 2011

Eirma Fatima Perjuang Martabat Wanita

Mempertaruhkan 19 orang artis ternama antaranya Eman Manan, Tan Sri Jins Shamsuddin, Remy Ishak, Fazura, Fouziah Gous, Tiz Zaqyah, Aaron Aziz, Dira Abu Zahar, Norish Karman dan Neelofa, pengarah dan pelakon handalan Eirma Fatima muncul dengan naskah ketuhanan yang berjudul, Tahajjud Cinta yang bakal mengisi slot Zehra di TV3.

Mengisahkan perngornaban dua wanita yang memperjuangkan kebenaran, hak asasi dan reputasi kaum hawa, Eirma dalam karyanya mahu menonjolkan bahawa wanita sebenarnya mempunyai hak yang sama dengan kaum lelaki namun ramai yang tidak mengetahui tentang perkara itu.

"Setiap hari kita mendengar penderaan fizikal dan mental terhadap wanita jadi daripada situ saya ambil kisah ini dan menjadikannya sebuah naskah yang bermutu.

"Memang ada diselitkan cerita mengenai kisah-kisah isteri berpoligami, namun saya bukan berniat untuk mempermainkan agama ataupun cuba mengkaitkan kisah ini dengan mana-mana orang, hanya mahu menyedarkan wanita-wanita diluar sana yang terlalu mudah jatuh hati dnegan lelaki-lelaki yang bijak mengucapkan kata-kata agama.

"Bukan mahu menghina mana-mana pihak cuma mahu menonjolkan sekuat mana imam seseorang itu, yang mana semakin tinggi ilmunya semakin besar dugaan yang datang.

"Kami juga memperlihatkan kepada penonton sejauh mana seseorang yang tinggi ilmu cuba mengawal agamanya seiring dengan perjalanan hidupnya dan cuba berlaku adil dengan isteri-isterinya yang lain,"jelas Eirma yang menceritakan sedikit sebanyak jalan cerita dalam drama Tahajjud Cinta ini.

Memilih ramai pelakon handalan, jelas Eirma ia merupakan satu kekuatan cerita ini yang mana setiap pelakonnya tidak pernah gagal membawakan setiap watak yang diberikan dengan begitu baik.

"Senarai pelakon ini adalah senarai asal yang saya mahukan sejak awal lagi, saya memang mahu yang terbaik kerana mereka yang mencorakkan setiap watak yang ada, dan saya tidak mahu bila seseorang itu tidak bagus ia akan merosakkan keseluruhan drama ini.

"Alhamdulillah, bekerja dengan mereka memang tidak banyak masalah, dan setakat ini, kesemua mereka boleh memberikan komitmen yang baik sewaktu penggambaran berlangsung.

"Tak dinafikan juga, saya terpaksa mengikut jadual mereka, kerana ada diantara mereka juga terpaksa memberi komitmen dengan beberapa perkara lain namun ia langsung tidak meninggalkan masalah,"jelas Eirma lagi yang berpuas hati dengan kehadiran pelakon-pelakon ini dilokasi.

Bercorak ketuhanan, mahu ataupun tidak sudah pasti naskah ini akan dikaitkan dengan drama popular Nur Kasih, namun sebagai pengarah, bagi Eirma sedikit pun tiada persamaan antara dua karya ini.

"Saya tidak berniat untuk menandingi sesiapa, apatah lagi Nur Kasih. Apatah lagi pada saya, Nur Kasih bukanlah lawan buat Tahajjud Cinta.

"Saya tidak memilih mana-mana karya sebagai pencabar saya, dan sesungguhnya fenomena Nur Kasih sememangnya sungguh besar dan saya hanya bersyukur sekiranya tahajjud Cinta juga sebegini,"jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: