Wednesday, June 29, 2011

Daus Jadi Pengacara, Mula Cipta Lagu

Daus.

PETALING JAYA: Selepas kejayaan single pertama, Kenapa, kini penyanyi Daus atau nama sebenarnya Muhd Shahril Firdaus Eli, 23, mengembangkan bakatnya dengan menciptakan sendiri single kedua terbaru, Akhir Waktu.

Menurut Daus, peluang menghasilkan lagu berbentuk balada itu diberikan setelah syarikat rakaman yang dinaunginya iaitu KRU Studios memberi sepenuh kepercayaan kepadanya.

"Sudah lama saya mengimpikan untuk menghasilkan sebuah lagu ciptaan saya sendiri.

"Saya masih baru dalam industri muzik, tetapi ia tidak menghalang untuk saya mengasah bakat sendiri. Lagipun, Edry Abdul Halim turut membimbing saya sepanjang penghasilan lagu tersebut," katanya.

Tambah Daus, walaupun lagu terbarunya itu berbentuk balada, Akhir Waktu, tetap mempunyai elemen-elemen “catchy” untuk pendengar.

Sementara itu, selain sibuk dengan promosi lagu Akhir Waktu, Daus juga mula menjinakkan diri dalam bidang pengacaraan pula.

Daus bakal mengacara sebuah program majalah iaitu In-Trend yang bakal ditayangkan mulai 9 Julai depan, setiap Rabu, pukul 3.30 petang, menerusi saluran TV2.

Kata anak kelahiran Sarawak ini, dia bakal digandingkan dengan dua pengacara lain iaitu Ean dan Mimie Haris pada program tersebut.

"Saya harap tidak ada yang akan salah faham dengan penyertaan saya di dalam bidang pengacaraan ini kerana ia sekadar cubaan pertama sahaja. Sebenarnya karier muzik yang akan saya pentingkan dahulu.

"Sekurang-kurangnya, menerusi bidang ini, saya mampu berkomunikasi dengan baik ketika berinteraksi bersama peminat-peminat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: