Wednesday, June 29, 2011

CMC Benefit lambang kejayaan Fauziah


FAUZIAH Abd. Aziz akan berusaha memastikan pencapaian CMC Benefit terus maju.


SIAPA sangka 30 tahun yang lalu, dia hanyalah gadis biasa yang bertugas di awan biru. Rutin hariannya cuma meladeni penumpang dalam penerbangan yang antaranya termasuk nama-nama yang cukup hebat dan terkenal dalam dunia korporat.

Mungkin pada ketika itu, dia cuma mampu memasang angan-angan untuk menjadi sehebat mereka.

Itu dulu. Tetapi kini Fauziah Abd. Aziz, 49, boleh berbangga kerana telah berjaya merealisasikan impian selama ini.

Fauziah antara wanita Melayu masa kini yang bergelar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di CMC Benefit Sdn. Bhd., sebuah syarikat milik bumiputera yang mengedar minyak kelapa dara atau virgin coconut oil (VCO) dengan jenama Timeless secara jualan langsung.

Sebelum memenuhi impian itu, banyak ranjau yang dilalui oleh ibu kepada empat cahaya mata itu yang berpegang kepada falsafah hidup perlu berani untuk mencuba menggilap potensi diri.

''Selepas 10 tahun di Penerbangan Malaysia (MAS) saya berhenti untuk mencuba dunia perbankan juga selama 10 tahun. Kemudian beralih ke bahagian pemasaran di EON juga selama 10 tahun,'' katanya.

Tidak cukup dengan itu, Fauziah juga terbabit dalam dunia glamor secara sambilan apabila menjadi pengacara Selamat Pagi Malaysia (SPM) dan mengendalikan rancangan masakan.

Menceritakan bagaimana dia tertarik untuk menerajui syarikat yang mengeluarkan produk tempatan itu, Fauziah memang pada mulanya tidak yakin dengan produk tempatan.

''Mulanya penubuhan CMC Benefit pada tahun 2008 hanya menawarkan khidmat perunding dalam perniagaan khususnya penjenamaan, strategik pemasaran dan perhubungan awam,'' katanya ketika ditemui di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Fauziah memberitahu, dia diberikan beberapa botol minyak kelapa dara untuk dicuba oleh pengarah syarikat berkenaan. Tetapi lebih kurang dua bulan dia membiarkan sahaja di setor rumahnya.

Bagaimanapun disebabkan pengarah syarikat itu berulangkali menelefon supaya mencuba maka akhirnya dia dan keluarga berbuat demikian.

''Sungguh menakjubkan selepas empat bulan, memang berlaku kesan yang luar biasa terhadap saya yang sebelum ini telah mencuba pelbagai ubat untuk mengatasi penyakit lelah, resdung dan buah pinggang yang sekian lama dideritai,'' katanya.

Ketakjuban itu akhirnya membuatkan beliau bertekad untuk menjadikan minyak kelapa dara sebagai satu produk yang boleh dikomersialkan untuk pasaran tempatan menerusi CMC Benefit.

Akhirnya CMC Benefit tidak menoleh lagi. Sebaliknya mula melangkah dengan lebih berani di mana pada pertengahan tahun 2010 produk Timeless berasaskan minyak kelapa dara atau VOC mula dipasarkan.

''Kenyataannya minyak kelapa dara telah mula dikomersialkan di negara ini sejak 2006. Tetapi sayangnya tiada siapa yang peduli. Ini adalah cabaran terbesar dan laluan yang sukar untuk saya hadapi,'' katanya.

Kalau ada pun katanya, ia diedarkan secara kecil-kecilan. Kebanyakan usahawan tempatan lebih yakin untuk mengeksport produk ini kerana sambutannya memang hebat.

''Saya percaya apa yang penting adalah memberikan kesedaran terhadap pengguna tempatan mengenai keistimewaan minyak ajaib ini,'' katanya.

Sehubungan itu, kata Fauziah adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menaikkan nama minyak kelapa dara atau VOC sebaris dengan produk berasaskan alam semula jadi jenama lain.

Yang penting kata Fauziah, beliau mahu syarikatnya menjadi peneraju dalam memasarkan minyak kelapa dara.

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh Fauziah adalah memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kehebatan produk tempatan itu.

Berikutan itu, Fauziah gigih mencari maklumat mengenai kehebatan minyak kelapa dara menerusi pembacaan di Internet dan sebagainya. Maklumat itu dikumpulkan untuk dijadikan buku.

''Buku bertajuk Kelebihan Kesihatan dengan Timeless - Anti Penuaan yang setebal 70 muka surat dijual RM13.50 senaskhah ini lengkap dengan kaedah pengubatan pelbagai penyakit untuk dirujuk oleh pengguna,'' katanya.

Jelas Fauziah, dia menerajui syarikat produk VOC secara perniagaan langsung kerana yakin ia sebagai laluan mudah untuk pengguna berkongsi pengalaman.

''Sebenarnya saya juga tidak menyangka sama sekali produk ini telah meletup selepas beberapa bulan berada di pasaran,'' katanya.

Tambahan pula, setakat ini dia tidak bercadang untuk mengiklankan produk tersebut kerana percaya promosi dari mulut ke mulut akan lebih berjaya.

''Jika ramai yang telah mencuba dan telah berjaya maka itu adalah promosi terbaik untuk syarikat kami. Keyakinan pengguna adalah paling utama,'' katanya.

Katanya, sememangnya testimoni pengguna terus membantu Timeless untuk terus berkembang lebih cepat daripada yang dijangkakan.

Berikutan itu, katanya, sejak Timeless diperkenalkan di pasaran lapan bulan lalu setakat ini telah tiga kali menjalani proses penambahbaikan.

Jelas Fauziah, itu membuktikan kesungguhan CMC untuk memastikan minyak kelapa dara yang dihasilkan bermutu tinggi.

Dalam menguruskan sebuah syarikat yang masih baru, Fauziah memberitahu sekalipun bergelar CEO tetapi dia tidak pernah untuk menjarakkan pangkat yang disandang itu dengan kakitangan.

''Saya juga bersedia menerima apa sahaja pandangan dan teguran yang diberikan oleh kakitangan asalkan itu semua yang terbaik untuk masa depan CMC Benefit,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, dia dan kakitangan ibarat satu keluarga kerana antara mereka saling bantu-membantu mencari formula terbaik untuk kejayaan CMC Benefit.

Katanya, dia tidak mahu memberikan tekanan terhadap kakitangannya sekalipun masing-masing perlu berkerja kuat untuk memastikan syarikat itu terus sukses pada masa depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: