Tuesday, May 31, 2011

Cabaran berbeza Zahedi


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Zahedi Ayob.


BERTUKAR portfolio Ketua Polis Daerah Sepang, Selangor ke jawatan sama di Shah Alam pada penghujung 2010, ternyata membuka lembaran berbeza buat Asisten Komisioner Zahedi Ayob.

Meskipun ramai menganggap cabaran semasa yang dihadapi pegawai polis kurang bergantung kepada faktor geografik, namun bagi Zahedi, 54, daerah Sepang dan Shah Alam terpaksa dilalui dengan pendekatan yang berlainan.

Beliau yang telah setia berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 38 tahun itu berkata, ketika berada di Sepang bukan sahaja ‘kerenah’ warganegara Malaysia perlu ditempuhinya malah warga asing juga memberi cabaran.

Katanya, disebabkan pintu masuk utama negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terletak di daerah itu, cabaran yang dihadapi beliau tentu sekali melibatkan masalah komunikasi.

“Di mana-mana ada jenayah serta masalah, begitu jugalah di Sepang. Setiap anggota polis yang bertugas di daerah itu perlu lebih bersedia dan mampu untuk bertindak lebih pantas.

“Ini kerana warga asing bukanlah penduduk negara ini dan jika mereka dilanda masalah atau jenayah, ia perlu diselesaikan dengan tempoh yang singkat dan betul,” katanya ketika ditemui Gaya Polis baru-baru ini.

Tambah beliau, kewujudan Cyberjaya yang menjadi tumpuan pelbagai syarikat antarabangsa juga menambah tekanan kepada setiap pegawai polis di daerah Sepang. Oleh itu kemampuan berbahasa Inggeris adalah menjadi kemestian.

Berlainan pula cabaran sebagai Ketua Polis Daerah Shah Alam, bekas Inspektor Pasukan Polis Hutan - PPH (kini Pasukan Gerakan Am) ini menjelaskan, kadar jenayah di ibu negeri Selangor ternyata lebih tinggi berbanding Sepang.

“Shah Alam menjadi tumpuan segenap masyarakat kerana pelbagai infrastruktur, prasarana serta kepadatan penduduk ada di sini dan tentu sekali selera masyarakat terhadap kemampuan polis menangani jenayah juga semakin tinggi.

“Pendekatan yang berbeza perlu dilakukan di sini tetapi harus saya akui ia tidaklah sama seperti yang diamalkan di Sepang, namun pengalaman di daerah itu saya terap dalam mentadbir Shah Alam,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: