Friday, April 29, 2011

Wings Bersatu Dalam Konsert Opera Hidup

Aksi memukau Wings dalam Konsert Opera Hidup Rockestra di Istana Budaya yang akan bermula malam ini hingga 2 Mei.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wings yang kali terakhir muncul dengan album Naga Kramat (2002), hampir sembilan tahun berjanji untuk mengeluarkan album penuh mereka tidak lama lagi.

Menurut Awie, dia dan tiga lagi anggota Wings iaitu Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram) memang sudah merancang untuk tampil dengan album baru tetapi perkara itu terpaksa ditangguhkan selama ini ekoran kesibukan masing-masing.

"Kami akan mengeluarkan album penuh terbaru tidak lama lagi. Kali terakhir kami muncul dengan album pun kira-kira sembilan tahun lalu.

"Kalau diikutkan Joe sudah ada beberapa lagu yang hanya menunggu saya untuk memasukkan vokal saja. Berkemungkinan, kami akan keluarkan single dulu," katanya.

Awie bersama Joe (kiri) dan Eddie dalam lagu pembukaan, Opera Hidup.

Sementara itu, kumpulan rock yang berusia 25 tahun itu terus membuktikan keunggulan mereka menerusi persembahan memukau dalam Konsert Opera Hidup Rockestra di Istana Budaya, malam Khamis.

Dalam konsert selama lebih dua jam itu, Wings mempersembahkan 19 buah lagu popular mereka antaranya Sejati, Taman Rashidah Utama, Hukum Karma, Biru Mata Hitamku, Bernafas Dalam Almari, Ranggi Metropolis, Biarkan Berlalu dan Lena Diulit Intan.

Tidak hanya tampil berempat, persembahan mereka turut diserikan dengan kemunculan istimewa bekas anggota kumpulan itu termasuk Mel (vokalis 1995-1996), Mus (vokalis 1996-2001), Sham (gitar 1985-1987) dan Jojet (1990-1993).

Vokal Awie memukau sepanjang konsert selama lebih dua jam.

Antara selebriti yang turut kelihatan pada konsert tersebut adalah penyanyi Hattan, pemain dram kumpulan Search iaitu Yazid, pemuzik Edrie Hashim dan bekas bintang bola sepak kebangsaan Zainal Abidin Hassan.

Persembahan Wings bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan itu dipimpin oleh konduktor Mustafa Fuzer Nawi.

Konsert Wings Opera Hidup Rockestra akan bermula pada malam ini sehingga 2 Mei di Istana Budaya.

Memandangkan tiket-tiket untuk empat malam itu telah habis dijual, peminat yang tidak berpeluang untuk menonton di Istana Budaya masih boleh melanggan 'Live Streaming' konsert ini menerusi Asyik.TV.

Awie bersama dua bekas vokalis Wings iaitu Mus (tengah) dan Mel.

Untuk melanggan pakej ini, sila layari laman web rasmi Wings iaitu www.sayap2wings.com, Asyik.TV atau hubungi 019-2537575.

Konsert Opera Hidup Rockestra dianjurkan oleh Bombay Worldwide, Anggerik Event dan Red On Black.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: