Friday, April 29, 2011

Tiga juta pemain video Sony digesa batal kad kredit


GAMBAR fail menunjukkan permainan video
PlayStation di Hanover, Jerman pada 15 Mac 2007.


LONDON - Sejumlah tiga juta pemain permainan video yang menjadi mangsa penggodam melibatkan rangkaian permainan Sony PlayStation di Britain digesa agar membatalkan kad kredit mereka, lapor sebuah akhbar semalam.

Nasihat itu diberikan selepas Sony berdepan kemarahan 77 juta pengguna Sony PlayStation di seluruh dunia yang kini berisiko menjadi mangsa kumpulan penipu yang mencuri nama, maklumat, data bank serta kata laluan mereka.

"Ia merupakan antara kes menggodam data yang terbesar pernah direkodkan. Jika kad kredit saya hilang semasa saya menaiki teksi, saya akan membatalkannya. Namun, ia lebih teruk jika Sony menghilangkan maklumat kredit kad anda," kata seorang pakar keselamatan komputer, Graham Cluley.

"Pencerobohan internet ini bukan sahaja menjatuhkan imej Sony tetapi turut mendatangkan bahaya kepada para penggunanya," tambah pakar berkenaan.

Para pemain berang kerana Sony hanya mendedahkan perkara itu pada Selasa lepas iaitu seminggu selepas akses dalam talian melibatkan Rangkaian PlayStation digantung.

"Anda (Sony) menunggu hingga seminggu untuk memberitahu kami bahawa data peribadi kami telah digodam," kata seorang pengguna Rangkaian PlayStation.

Mengulas mengenai ketidakpuasan hati pengguna, Sony bagaimanapun menyatakan, ia lambat mendedahkan perkara tersebut kerana pada awalnya tidak menyedari bahawa pencerobohan maklumat itu berlaku pada skala besar.

Dalam perkembangan terkini, Sony memberitahu, ia telah menukarkan maklumat peribadi yang dicuri penggodam ke dalam bentuk kod rahsia sekali gus mengurangkan risiko maklumat tersebut digunakan untuk tujuan jenayah.

Ia turut menyatakan bahawa tidak ada bukti bahawa data maklumat kad kredit tersebut sudah dicuri.

Menurut Sony, data kad kredit itu telah diasingkan daripada maklumat yang terdapat dalam kad berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: