Friday, April 29, 2011

‘Rumah babi’

TAK SESUAI...rumah yang didakwa dijadikan gudang menyimpan daging babi di Taman Maju Jaya, Ampang.
TAK SESUAI...rumah yang didakwa dijadikan gudang menyimpan daging babi di Taman Maju Jaya, Ampang.

AMPANG: Penduduk di Taman Kencana Fasa 2A, di sini, menggesa premis yang didakwa dijadikan gudang menyimpan daging babi oleh seorang penduduk yang didirikan bersebelahan rumahnya di Jalan Bunga Mawar, Taman Maju Jaya, dipindahkan ke kawasan lain.

Gudang terbabit yang dipercayai beroperasi sejak tiga tahun lalu terletak kira-kira 50 meter dari perumahan Taman Kencana Fasa 2A sehingga meresahkan penduduk terutama beragama Islam.


Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Kencana 2A, Latisah Pit, 46, berkata pemilik rumah itu tidak wajar mendirikan gudang terbabit.

Menurutnya, keadaan itu menjejaskan keselesaan penduduk kerana setiap hari pada awal pagi sekurang-kurangnya empat lori kontena yang mengangkut daging babi melalui kawasan taman perumahan berkenaan menuju Taman Maju Jaya.


“Seawal jam 4 pagi, penduduk terganggu bunyi bising lori kontena yang mengangkut daging babi melalui lorong perumahan kami. Saya tidak bersetuju kerana jalan di lorong ini jalan mati dan agak mengganggu lalu lintas,” katanya.


Penduduk mendakwa, disebabkan lokasi kilang yang berada di jalan mati lori kontena yang berat itu sering menyebabkan kenderaan penduduk rosak akibat dilanggar lori terbabit.

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa persatuan penduduk taman berkenaan, Norhamidah Nordin, 52, berkata kenderaan miliknya pernah tercalar dan kemik akibat dilanggar lori kontena itu.


Katanya, lori terbabit bukan saja merosakkan kenderaan, malah turut menyebabkan jalan di kawasan itu merekah kira-kira tujuh meter, sedikit mendap dan memecahkan bonggol jalan di situ.Sementara itu, Ketua Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Norhayati Ahmad, berkata pihaknya belum menerima apa-apa aduan mengenai perkara itu, namun akan menjalankan siasatan dengan mengkaji secara keseluruhan dari segi operasi kilang itu.


“Pihak MPAJ akan mengkaji perkara itu dan sekiranya mendapati operasi kilang itu kurang sesuai, kami akan mengeluarkan notis arahan kepada pemilik untuk berpindah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: