Friday, April 29, 2011

Pertikaian sempadan Thailand - Kemboja




NONG KANNA merupakan antara beberapa buah perkampungan kecil yang terletak di daerah Phanom Dong Rak, wilayah Surin, Thailand. Terletak kira-kira lima kilometer (km) dari sempadan Thailand-Kemboja, rata-rata penduduknya menyara kehidupan melalui sektor pertanian.

Bagaimanapun, kampung yang dihuni lebih 1,000 penduduk itu kini sunyi sepi. Kebanyakan penduduknya sudah melarikan diri berikutan pertempuran terkini tercetus di antara tentera Thailand dan Kemboja, Jumaat lalu.

Konflik terbaru itu mengorbankan 13 orang tentera kedua-dua buah negara dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain, manakala lebih 50,000 penduduk menjadi pelarian. Ia dianggap pertempuran terburuk yang berlaku untuk tempoh hampir dua dekad.

“Saya tidak tahu apa punca pertelingkahan ini, mungkin mereka mahukan tanah kami,” kata salah seorang penduduknya, Boonhome Surasuk.

Petani berusia 56 tahun itu merupakan antara 80 penduduk yang masih terus bertahan di kampung itu.

Katanya, jika sebelum ini sekitar kawasan kampung itu meriah dengan hilai tawa kanak-kanak yang sedang bermain, kini yang kedengaran hanyalah bunyi tembakan dan dentuman meriam.

Malah, dia dan penduduk lain terpaksa tidur dan berlindung di kubu konkrit bawah tanah di kampungnya untuk mengelak daripada serangan tentera Kemboja.

“Kami tidak berani keluar dari kubu ini, keadaan di luar sana tidak selamat dan semakin buruk setiap hari,” ujarnya.

Pertempuran jarak jauh melibatkan bedilan meriam tercetus Jumaat lalu dan menyasarkan sekitar tapak kuil berusia lebih 1,000 tahun iaitu Ta Moan dan Ta Krabey yang kini menjadi pertikaian antara kedua-dua buah negara.

Selasa lalu, pertempuran terus merebak sejauh 160 kilometer di sebelah Timur berhampiran kuil Hindu, Preah Vihear yang menjadi lokasi pertempuran berdarah mengorbankan 10 nyawa pada Februari lalu.

Kementerian Pertahanan Kemboja mengecam Thailand kerana melancarkan serangan untuk menguasai kedua-dua kuil berkenaan.

Menurut Kemboja, seteru mereka itu melancarkan peluruh 75 milimeter (mm) dan 105 mm berisi gas beracun ke kawasan berkenaan.

Menjawab kritikan itu, Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya berkata, tuduhan Kemboja itu tidak berasas.

Perdana Menteri Thailand, Abisit Vejjajiva, turut menghantar surat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Phnom Penh melakukan serangan membabi-buta apabila melepaskan tembakan senjata berat ke arah penempatan awam dan hospital.

Seorang pelarian Kemboja, Has Pov berkata, dia dipindahkan ke kem pelarian di bandar Samrong kira-kira 40 km dari kawasan pertempuran bersama isteri dan dua anaknya.

“Keadaan kampung kami tidak selamat kerana dihujani peluru dan meriam tentera Thailand setiap hari, situasi itu sangat menakutkan,” katanya.

Hak kedaulatan


TENTERA Thai berkawal di sempadan Thailand-Kemboja sejurus sebelum pertelingkahan antara kedua-dua buah negara tercetus.


Kedaulatan ke atas tiga kuil Hindu purba, Preah Vihear, Ta Moan dan Ta Krabey serta pergunungan Dangrek, menjadi pusat pertikaian yang menjerumuskan Thailand dan Kemboja dalam kancah peperangan.

Penganalisis politik, Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, konflik yang berlaku baru-baru ini merupakan lanjutan daripada pertikaian hampir sedekad selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberikan hak kedaulatan kuil Preah Vihear kepada Kemboja pada 1962.

Beliau yang juga Pengerusi Pembangunan Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, memberitahu bagaimanapun, status tanah berdekatan kuil Hindu seluas 4.6km persegi itu masih tergantung menyebabkan ia menjadi kawasan panas dan diletakkan di bawah perhatian serius oleh pasukan keselamatan kedua-dua buah negara.

“Kemboja menganggap pengiktirafan ICJ ke atas kuil yang dibina pada kurun ke-11 itu turut sama mengiktiraf kedaulatan kawasan 4.6km persegi di sekitar pergunungan Dangrek sebagai hak mereka.

“Ia juga sejajar dengan Perjanjian 1907 antara Perancis yang memerintah Kemboja ketika itu dan kerajaan Siam yang mana sebaik-baik Kemboja mencapai kemerdekaan pada 1954, kuil itu dimasukkan sebagai sebahagian daripada wilayah negara berkenaan," katanya.

Beliau memberitahu, sewaktu perjanjian itu dicapai, tentera Thailand sudah pun berada di wilayah tersebut dan dengan keputusan ICJ membiarkan kawasan itu tidak bertuan, Thailand enggan berundur dari kawasan berkenaan dan mendakwa ia sebahagian daripada wilayah mereka.

“Beberapa kumpulan dan juga kerajaan Thai sebelum ini cuba mempolitikkan isu itu namun tiada masalah timbul sehingga Suruhanjaya Kebangsaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menyenaraikan kuil itu Tapak Warisan Dunia pada 2008,” katanya.

Ujarnya, ketika Phnom Penhn menyambut baik pengumuman itu, Bangkok mengemukakan bantahan kerana menganggap kawasan sempadan di antara kedua-dua negara sepanjang 800 km itu tidak pernah bernoktah.

Tambah Mohd. Azizuddin, sejak itu pertempuran sering berlaku di kawasan berhampiran kuil itu kerana masing-masing menganggap ia merupakan wilayah mereka termasuk pertempuran berhampiran kuil Ta Moan dan Ta Krabey baru-baru ini.

Bangkok berpendapat, kedua-dua kuil itu terletak dalam wilayah Surin miliknya berdasarkan peta pada tahun 1947, tetapi dinafikan Phnom Penh yang mendakwa ia berada dalam wilayahnya, Oddar Meanchey.

Kelebihan politik


PENDUDUK di wilayah Samrong, Oddar Meanchey di Kemboja terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka akibat pertelingkahan antara Thailand- Kemboja.


Mohd. Azizuddin berkata, biarpun punca pertempuran terkini itu masih menjadi tanda-tanya, namun ia mempunyai kaitan dengan isu sempadan di samping hubungan dingin di antara pemimpin kedua-dua buah negara.

“Hubungan baik Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dengan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra termasuk melantiknya sebagai penasihat ekonomi pada tahun 2009 telah mengeruhkan hubungan Hun Sen dengan Abisit,” ujarnya.

Pada masa yang sama, katanya, pertempuran yang berlaku juga memberi kelebihan politik kepada kedua-dua pemimpin berkenaan.

Abisit kini terdesak dalam meraih sokongan rakyat memandangkan negara itu bakal menghadapi pilihan raya umum, Jun atau Julai nanti.

“Isu ini mungkin boleh dijadikan modal kempennya di samping menunjukkan bahawa kerajaan tidak akan berganjak apabila berdepan dengan isu kedaulatan negara.

“Bagaimanapun, ada juga teori yang mengaitkan sesetengah jeneral bersekongkol dengan kumpulan pelampau nasionalis untuk mencetuskan kekacauan dan mengagalkan pilihan raya berkenaan,” jelasnya.

Sementara itu, di pihak Kemboja pula, ia dilihat sebagai langkah meraih sokongan golongan nasionalis di negara itu dengan mencetuskan konflik bagi menunjukkan kemampuan ketenteraan mereka.

Katanya, dalam mencari penyelesaian kepada konflik itu Thailand dan Kemboja, kedua-dua pihak perlu melakukan gencatan senjata dan kembali ke meja rundingan.

“Paling utama, Bangkok dan Phnom Penh perlu diyakinkan untuk mencapai persetujuan bagi mengekalkan status quo di kawasan seluas 4.6 kilometer itu dan bersedia mengakui bahawa pemilikan ke atasnya masih belum diputuskan.

“Persetujuan kedua-dua negara bertelagah itu bagi membolehkan perebutan kawasan berkenaan di bawa semula ke The Hague, Belanda, seterusnya menyerahkan kepada ICJ menentukan pemiliknya yang sah,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dalam kenyataannya menggesa gencatan senjata selepas pertempuran pada 4 hingga 7 Februari lalu dikuatkuasakan semula selepas diterima dalam pertemuan wakil negara Asean di Jakarta, baru-baru ini.

Menurut jurucakapnya, Ki-moon mahu kedua-dua negara melancarkan dialog serius bagi menyelesaikan perbalahan berkenaan.

Dalam perkembangan terbaru, harapan menyelesaikan perbalahan menerusi rundingan masih terbuka, biarpun Menteri Pertahanan Thailand Jen Prawit Wongsuwon telah membatalkan lawatan ke Phnom Penh untuk rundingan damai Rabu lalu.

Terbaru, Menteri Luar Thailand Kasit Piromya dijangka berbincang dengan rakan sejawatannya Hor Namhong di Jakarta dalam masa terdekat ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: