Thursday, April 28, 2011

Penginapan bajet di Pulau Mabul


KELENGKAPAN menyelam boleh didapati pelancong yang mahu melakukan aktiviti itu.


SELEPAS arahan pengosongan Pulau Sipadan pada 2005 bagi tujuan pemuliharaan, Pulau Mabul yang terletak berhampiran dengannya menjadi tumpuan sebagai tempat penginapan dan persinggahan.

Namun percutian ke pulau yang semakin popular di kalangan pelancong tempatan dan luar negara itu memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi kalau diambil kira kos penerbangan ke Tawau, Sabah.

Jika melayari Internet, kebanyakan pakej penginapan termasuk selaman yang ditawarkan oleh resort-resort mewah biasanya tidak kurang daripada RM2,500 seorang.

Namun bagi yang mencari penginapan lebih murah, pakej inap desa kini antara yang kian popular di Pulau Mabul. Satu daripadanya adalah Spheredivers Lodge & Tours yang menawarkan percutian pada harga berpatutan.

Pengurus calet, Azhar Adnan berkata, pakej yang ditawarkan oleh Spheredivers diperkenalkan untuk memberi peluang kepada pelancong yang tidak berbajet besar ataupun mereka yang ingin tinggal lebih lama.

"Selama ini ramai yang tidak berpeluang untuk datang ke Mabul kerana mengambil kira kos penginapan yang mahal apatah lagi melibatkan tambang penerbangan.

"Kami menerima sambutan yang menggalakkan di kalangan penyelam dan juga pelancong yang datang sekadar berehat dan melakukan selam snorkel," kata bekas jurutera kelahiran Negeri Sembilan itu.

Spheredivers menawarkan 14 penginapan pada harga RM70 semalaman termasuk sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Tawaran itu jika dihitung hampir 10 kali ganda lebih murah berbanding resort-resort berbintang di pulau itu.

Tanpa pendingin udara, bilik dua katil yang dilengkapi almari menyediakan penginapan sederhana yang bersih dan selesa dengan kemudahan bilik air berasingan.

Seperti kebanyakan penginapan di pulau itu, Spheredivers menggunakan air tawar dari pulau untuk kegunaan di bilik mandi manakala bekalan air bersih diperolehi dari Semporna.

Pakej menyelam ditawarkan pada harga RM80 dan RM100 (selaman bot) untuk selaman pada waktu malam.

Bagi yang tidak menyelam, pakej snorkeling di lokasi sekeliling pulau boleh dilakukan termasuk kunjungan ke beberapa pulau sekitar Mabul seperti Mataking, Kapalai, Siamil dan Mantabuan.

Bagi yang gemarkan fotografi, perkampungan nelayan tradisional yang dihuni oleh kaum Bajau dan Suluk itu menawarkan seribu satu keunikan landskap dan wajah-wajah penduduknya.

Bagi yang ingin merasai pengalaman bercuti di atas sebuah pulau kecil di tengah laut, Spheredivers boleh dihubungi di talian 012-2857043 (Azhar) atau kunjungi Spheredivers Lodge (Facebook).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: