Thursday, April 28, 2011

Najis cemari Sungai Langat

PENEMPATAN lebih 500 warga asing di Kampung Bukit Damar, Dengkil tiada sistem kumbahan.
PENEMPATAN lebih 500 warga asing di Kampung Bukit Damar, Dengkil tiada sistem kumbahan.
Rahsia penghadang zink di penempatan pekerja warga asing terbongkar

SEPANG: Ribut yang meranapkan sebahagian penghadang zink yang menutupi sebuah penempatan pekerja warga asing di Kampung Bukit Damar, Dengkil, dekat sini minggu lalu membongkar rahsia menjijikkan kerana najis dari tandas yang tidak diurus di situ, sebenarnya punca pencemaran Sungai Langat.Penempatan yang dihuni lebih 500 warga asing itu tidak mempunyai sistem kumbahan yang baik menyebabkan najis penghuni di situ disalur terus ke longkang berdekatan dan mengalir ke Sungai Langat.
Keadaan itu menyebabkan Sungai Langat tercemar sedangkan ia juga adalah sumber air utama untuk penduduk sekitar Lembah Klang, Cyberjaya dan Putrajaya.

Berikutan itu, penduduk meminta pihak bertanggungjawab bertindak terhadap pemilik tanah yang didiami warga asing terbabit yang jaraknya hanya 50 meter dari rumah penduduk setempat.

Najis dari penempatan warga asing itu turut menyebabkan pencemaran bau di kawasan kampung itu terutama ketika cuaca panas.

Bulan lalu, Berita Harian menyiarkan keluhan penduduk di kampung berkenaan berkaitan masalah kebanjiran warga asing yang menduduki tujuh pusat penempatan di ladang sawit kampung berkenaan.
Selain menghadapi masalah sosial seperti kegiatan judi dan samun, penduduk merasakan seolah-olah menumpang di negeri orang kerana tiada tindakan pihak berkuasa bagi menangani masalah itu, terutama memeriksa sama ada pekerja terbabit mempunyai dokumen sah atau sebaliknya.

Tinjauan Berita Harian semalam mendapati beberapa tandas dibina di kawasan itu dan paip kumbahan PVC yang menghubungkannya ke longkang besar.

Tiada kolam tadahan disediakan bagi merawat air dari dapur dan bahan kumbahan tandas di situ, sebelum dialirkan ke longkang berdekatan dan seterusnya memasuki sungai.

Pesara kerajaan, Shahbuddin Mohd Fiah, 58, berkata masalah itu pernah diadukan kepada Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) tahun lalu, tetapi tiada tindakan sehinggalah pagar zink kawasan itu roboh diterbangkan ribut baru-baru ini.

Katanya, penduduk tidak tahan berdepan masalah itu kerana air najis yang mengalir ke longkang boleh memudaratkan kesihatan penduduk.

"Kami berharap pihak berkuasa tegas menangani masalah itu dan tidak boleh membiarkan kami terus terseksa”, katanya.

Ipin Adeh, 33, pula berkata, lebih dua tahun penduduk terpaksa menahan bau najis dari penempatan warga asing itu dan keadaan bertambah buruk jika cuaca panas dan selepas hujan.

“Sepatutnya masalah itu tidak dibiarkan berlarutan dan pihak bertanggungjawab perlu tegas mengambil tindakan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: