Thursday, April 28, 2011

Keperitan hidup KL Sempit

PENGARAH, penulis skrip dan barisan pelakon teater KL Sempit yang akan dipentaskan tiga hari bermula 29 April.
PENGARAH, penulis skrip dan barisan pelakon teater KL Sempit yang akan dipentaskan tiga hari bermula 29 April.
Pementasan singkap suka, duka kehidupan di kota besar

HIDUP di tengah kota metropolitan menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Siapa berani dan tegar, akan mampu bertahan, namun jika mudah menyerah terhadap ketentuan nasib pastinya setiap langkah seakan-akan dipapah hingga kadang kala boleh membawa rebah.Bukan semua warga kota melalui pengalaman manis tinggal di bandaraya serba mencabar ini kerana demi kelangsungan hidup segelintir individu terpaksa berbuat apa saja sekali pun perlu mengenepikan integriti serta nilai diri.
Itulah antara lumrah kehidupan yang terpaksa ditempuhi sebilangan warga kota yang cuba diterjemahkan menerusi teater berjudul KL Sempit di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur selama tiga hari bermula 29 April ini, jam 8.30 malam.

Naskah garapan Raja Azrey dan Nasrul Hakeem ini menjurus terhadap permasalahan tiga anak muda yang tinggal di pinggir Kuala Lumpur - Alim, Shahdan, Epy- yang tampak hidup senang sedangkan hakikatnya kehidupan mereka tidak seindah digambarkan.

“Suka atau tidak, inilah fenomena yang dialami sebilangan penghuni ibu kota. Kos sara hidup tinggi, tekanan di tempat kerja dan faktor persekitaran menambahkan bebanan sedia ada hingga tanpa sedar sering kali kita terlepas perkara lebih utama, keluarga dek mengejar wang.

“Dilema tiga sekawan yang sebenarnya mewakili diri kita turut menunjukkan kesukaran hidup bukan saja mendorong manusia mengemis dan mengharapkan simpati malah terpaksa melakukan sesuatu di luar batasan demi memenuhi kehendak gaya hidup,” katanya pada majlis pelancaran dan memperkenalkan barisan produksi KL Sempit.
Pementasan percuma yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu diadakan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Pekerja 2011.

Dilema Alim lakonan Raja Azrey, Shahdan (Deejay Pool) dan Epy (Izwan Pilus) disebabkan gaji mereka sentiasa tidak mencukupi umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang apatah lagu perlu menghantar wang kepada keluarga di kampung.

Jika diukur Epy lebih bertuah kerana dibandingkan dua lagi teman serumahnya, mereka lebih tertekan dibebani bebanan kewangan yang melemaskan ditambah masalah peribadi terutama Alim yang terpaksa berdepan dengan bekas isteri, Nur Ain yang baru berpindah di belakang rumahnya.

Rahsia yang selama ini tersimpan rapi terbongkar tambahan pula Nur Ain (Maya) turut membawa anak tunggal mereka tinggal bersama sekali gus mendedahkan konflik antara kedua-dua mereka yang menggamatkan lagi kronologi KL Sempit.

Raja Azrey berkata, bagi menghidupkan pementasan itu, KL Sempit digarap dengan lebih santai dan komedi supaya setiap mesej yang cuba disampaikan dapat difahami penonton sekali gus menjadikan teater ini sebagai medium penyampai maklumat.

“Dalam berjenaka kita cuba mendekatkan warga kota dengan nilai murni terutama tidak mudah tamak untuk hidup senang apatah lagi selain paparan tiga tunjang utama, pementasan ini turut menonjolkan banyak lagi permasalahan sosial masa kini.

“Melihat senarai pelakon kami yakin penonton dapat menyaksikan sesuatu yang istimewa kerana setiap karektor punya personaliti dalaman yang cuba diserlahkan. KL Sempit mentafsirkan segala macam isu berkaitan ‘sempit’ justeru pendekatan bukan hanya menerusi dialog malah lokasi perbincangan watak iaitu di belakang rumah,” katanya.

Sementara itu, penyanyi Izwan Pilus yang pertama kali beraksi dalam pementasan teater mengakui teruja beraksi di pentas langsung yang disifatkan menguji sejauh mana kemampuannya apatah lagi naskah itu dipenuhi babak lucu dan kekecohan.

“Sudah lebih sebulan kami menjalani latihan. Teater ini adalah suatu pengalaman baru buat saya. Sebelum ini Raja Azrey pernah menawarkan untuk mementaskan sebuah bangsawan tetapi ketika itu saya tidak bersedia, jadi sebaik diajukan tawaran menunjangi KL Sempit, saya terus menyambarnya.

“Teater mempunyai disiplin tersendiri dan sebagai orang baru, saya merasa bertuah apabila dapat belajar ilmu lakonan pentas. Pementasan juga sebenarnya mengajar kita lebih bersabar serta tekun dan tidak sesekali mementingkan diri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: