Saturday, April 30, 2011

Jaminan penyelenggaraan Jurutera RS


PASUKAN jurutera RS terdiri daripada individu yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi.


DEMI memberikan perkhidmatan kelas satu kepada para pemilik kenderaan Renault Sport, satu pasukan, Jurutera Renault Sport (RS) telah ditubuhkan oleh pengedar jenama tersebut, TC Euro Cars (TCEC). Ini merupakan perkhidmatan servis untuk semua pemilik Renault Sport bagi memastikan jentera mereka sentiasa berada dalam kondisi terbaik.

Jenama Renault Sport mencetuskan momentumnya pada tahun 2008. Ia dimulakan dengan pengenalan model Renault Sport Megane R26, sebelum diikuti oleh model berkuasa seperti Renault Sport Clio RS. Model terbaru ialah Renault Sport Megane RS 250 Cup yang dilancarkan pada tahun lalu.

Tidak dapat dinafikan bahawa kenderaan Renault Sport dimiliki oleh peminat sebenar dan benar-benar tahu dengan kemampuan jentera yang mereka pandu.

Jadi, Jurutera RS bertanggungjawab memastikan perhatian dan servis diberikan kepada jentera berkenaan.

Setiap Renault Sport yang meninggalkan bengkel perlu diberi sijil kawalan kualiti oleh Jurutera RS. Kegagalan berbuat demikian menyebabkan kenderaan itu perlu diperiksa semula.

Tujuannya bagi memastikan semua komponen jentera berfungsi mengikut spesifikasi pengeluar. Jika timbul keperluan, Jurutera RS akan dihantar ke lokasi luar untuk memberi bantuan menerusi kenderaan bantuan teknikal Renault.

Selain itu, Jurutera RS turut memiliki akses langsung dengan Renault Technical Center di Korea Selatan dan sokongan Renault Sport di Dieppe, Perancis.

Pasukan Jurutera RS terdiri daripada Zulhelmi Othman dan Luqman Salehuddin Md. Salehuddin. Zulhelmi memiliki kelayakan Renault Co-Tech dan pengalaman 12 tahun dalam industri automotif. Dalam tempoh tersebut, graduan Federal Institute of Technology itu sudah mempunyai pengkhususan selama tujuh tahun untuk kenderaan Renault menerusi TC Euro Cars.

Zulhelmi menyelia pemeriksaan prapenghantaran untuk semua kenderaan baru. Selain berperanan sebagai pengajar teknikal Renault dan teknologi baru. Beliau juga merupakan penasihat teknikal untuk semua cawangan Renault di Malaysia.

Luqman pula berkelulusan Automotive Maintenance Technology dari Malaysia-France Institute. Beliau mempunyai pengalaman enam tahun dalam industri automotif termasuk berkhidmat dengan pemain automotif Jerman dan Jepun dalam bidang penyelenggaraan kenderaan, baik pulih dan penyelesaian masalah.

Sejak TC Euro Cars memperkenalkan jenama Renault pada tahun 2003, Hab Servis Renault yang terletak di Seksyen 13 Petaling Jaya sudah bersedia menampung keperluan penyelenggaraan mana-mana model Renault.

Bagi pelanggan Renault di luar Lembah Klang, mereka boleh mengunjungi Pusat Servis Renault di bandar-bandar besar. Antaranya di Klang, Cheras, Ipoh, Butterworth, Bayan Lepas, Langkawi, Melaka, Johor Bahru, Kuantan, Kuching dan Kota Kinabalu.

Berhubung alat gantian pula, ia dibekalkan menerusi 44 buah cawangan di seluruh negara. Rangkaian sama yang membekalkan alat gantian Nissan. Ia dikendalikan oleh Tan Chong Express Auto Service (TCEAS) yang berupaya menjalankan semua jenis khidmat diperlukan dengan sokongan 900 kakitangannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: