Friday, April 29, 2011

Haram gugur janin 120 hari

BOLEHKAH kandungan janin digugurkan kerana berlaku kecacatan pada janin tersebut?
JAWAPAN: Setiap manusia pastinya mempunyai fitrah untuk berkeluarga. Dengan berkeluarga kita telah menyempurnakan sebahagian daripada agama dan mengimpikan zuriat sebagai penerus legasi keturunan.

Namun begitu, ramai manusia melakukan perkara yang bertentangan dengan peraturan Allah apabila menggugurkan kandungan dengan alasan kerana masih belum bersedia dari segi fizikal, mental dan kewangan. Bagi muslim yang beriman, Allah memberikan peringatan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka” – ( al-An'am : 151)

i) Janin di dalam kandungan terbentuk dalam beberapa peringkat iaitu peringkat awal yang dipanggil nutfah iaitu dari satu hari hingga 40 hari. Peringkat kedua alaqah iaitu dari 41 hari hingga 80 hari. Peringkat sesudah terbentuk yang dipanggil mudhghah iaitu berumur antara 81 hari hingga 120 hari. Peringkat keempat pula ialah selepas berumur 121 hari iaitu sesudah ditiup roh insaniah ke dalamnya (janin).

ii) Terdapat pelbagai kecacatan yang berlaku pada janin antaranya ialah kecacatan fizikal seperti pekak, buta mata, sumbing bibir, tiada otak dan kepala besar.

Yang kedua kecacatan mental seperti kelembapan otak, kecacatan otak dan sebagainya. Bentuk kecacatan pula ialah kecacatan teruk dan kecacatan ringan.

iii) Menurut ijma’ Fuqaha’, adalah haram menggugurkan janin berumur 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh. Kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab-sebab kecacatan yang bersangatan.

iv) Menggugurkan janin yang berumur antara 1 hari hingga 40 hari adalah makruh, sekiranya tidak mendatangkan bahaya kepada ibu.

v) Ijma’ Fuqaha’ juga berpendapat pengguguran janin berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu menghadapi cacat dan penyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.

Manusia yang beriman amat menitikberatkan soal halal haram sesuatu tindakan dalam kehidupan. Jangan kerana mengikut kehendak nafsu untuk mencapai nikmat sementara hingga membelakangkan hukum yang akan dipersoalkan kembali di akhirat kelak.

Golongan khunsa boleh berkahwin

BOLEHKAH kita mengahwini seseorang khunsa iaitu seseorang yang mempunyai dua kemaluan pada dirinya? Dia 80 peratus perempuan dan 20 peratus lelaki tetapi, tidak pernah datang haid. Dia juga mempunyai genetik lelaki sedangkan perwatakannya dan percakapannya perempuan. Bagaimana pula dengan hukum dalam Islam?

JAWAPAN: Khunsa bermaksud seseorang yang dilahirkan dengan dua kemaluan dari jenis lelaki dan wanita.

Sama seperti manusia yang lain, golongan khunsa berhak untuk berkahwin setelah memilih mana-mana jantina yang bersesuaian dengan dirinya. Malah, golongan ini diharuskan untuk melakukan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang benar-benar berfungsi dan juga mendapat pandangan dan nasihat daripada pakar perubatan sebelum dilakukan sesuatu pembedahan itu.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah membincangkan Kedudukan mak nyah dalam Islam.

Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya kali ke-126 pada 24 Februari 1983 telah mempersetujui fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa iaitu:

1. Pertukaran jantina dari lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram dari segi syarak.

2. Seseorang yang dilahirkan khunsa musykil iaitu manusia yang dilahirkan mempunyai dua alat kemaluan lelaki dan perempuan diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang benar-benar berfungsi supaya dapat digunakan mengikut keadaan yang sesuai.

Panel mengingatkan, bagi mereka yang mengatakan haram berkahwin bagi golongan tersebut, ia adalah pandangan yang salah dan jauh menyimpang daripada kebenaran. Mereka juga manusia yang punyai hak untuk berkeluarga seperti manusia yang lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: