Wednesday, March 30, 2011

Zila Bakarin tutup aurat


DARI kiri: Zila, Anne dan Fazreen.


TERKENAL dengan identiti yang seksi dalam kebanyakan penampilan dan lakonannya, tidak bermakna pelakon Zila Bakarin menolak tawaran untuk memegang watak wanita berimej keislaman.

Mungkin juga peminat yang memandangnya menyangka bahawa Zila sudah beralih arah. Hakikatnya, transformasi dirinya itu sekadar untuk tatapan lakonan sahaja.

Akuinya, apabila tiba masanya nanti, dia tidak menolak kemungkinan akan menjadikan busana muslimah sebagai pilihan hati.

“Buat masa ini untuk pakai tudung belum sampai seru lagi. Perkara macam ini tidak boleh dipandang remeh. Kalau betul-betul mahu tutup aurat, saya pastikan ia benar menepati cirinya,” terangnya yang kini sudah memiliki seorang cahaya mata, Kaseh Azri, 2.

Kemunculan Zila menerusi drama bersiri Kurma Ajwa Untuk Najwa yang ditayangkan oleh stesen televisyen AlHijrah ternyata memberi sesuatu kelainan terhadapnya sepanjang terlibat dalam industri lakonan.

Pengalaman yang paling ketara apabila Zila perlu mematuhi beberapa peraturan yang dilarang oleh Islam. Paling jelas sekali, dia perlu memakai tudung dan adegan yang dipaparkan tidak boleh tersentuh dengan pelakon lelaki.

Meskipun watak yang dipegangnya itu sebagai ibu kepada pelakon Fazreen Rafi, Zila perlu menghayatinya dengan membataskan perilaku.

“Sejujurnya, ia bukan semudah yang disangka kerana imej saya perlu bersesuaian dengan watak yang diberikan. Babak yang paling rumit apabila saya perlu marah kepada anak saya.

“Sepatutnya saya garang tetapi disebabkan saya berpakaian sopan ia membuatkan diri ini susah untuk berlakon garang. Saya jadi bersifat lemah lembut,” ceritanya yang turut mengakui pertama kali mengadakan sesi fotografi berimej tudung dan sopan.

Namun, watak itu sebenarnya mendorong Zila untuk berjinak-jinak bertudung. Lama-kelamaan timbul rasa ingin tahu secara mendalam bagaimana ingin mendapatkan tudung yang berkualiti.

“Secara semula jadi saya terasa ingin tahu pilihan tudung yang disukai. Rupa-rupanya banyak sangat fesyennya. Buat masa ini koleksi saya hanya dua helai sahaja. Selebihnya saya pinjam tudung kakak,” katanya sambil ketawa kecil.

Jantung berlubang

Sementara itu, lain pula dengan Anne Ngasri yang sebelum ini sudah pun berpakaian muslimah. Jadi, sepanjang sesi penggambaran drama itu, ia tidak menimbulkan sebarang masalah.

Sebaliknya, dia suka untuk berkongsi kriteria drama itu yang melarang setiap pelakon bukan muhrim bersentuh, menutup aurat dan tata rias wajah sederhana.

“Drama ini memberi teladan yang sungguh baik bukan sahaja kepada penonton. Bahkan kepada pelakonnya sendiri. Saya cukup suka dengan drama ini yang berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” jelasnya.

Hurai Anne lagi, keterujaan menerusi Kurma Ajwa Untuk Najwa apabila digandingkan dengan Fazreen Rafi yang memegang watak Bujal iaitu seorang pemuda yang lurus bendul dan berperangai kebudak-budakkan.

Gelagat manusia

Dia memuji lakonan Fazren yang mampu membawa watak sebegitu sedangkan jejaka itu sebelum ini tidak pernah ditawarkan sebagai kanak-kanak kurang upaya.

“Saya adalah seorang remaja yang bernama Najwa yang mempunyai perwatakan sangat pandai, peramah, lemah lembut dan rajin. Tetapi saya mempunyai penyakit jantung berlubang.

“Bagaimanapun, saya dengan Fazren merupakan rakan baik di kampung itu. Walaupun Fazren lurus bendul dan spastik antara saya dan dia boleh menjadi teman rapat,” terangnya lagi.

Dalam pada itu, Fazren pula menjelaskan, drama arahan Badarudin Azmi yang lebih dikenali sebagai Bade benar-benar menyentuh perasaan masyarakat.

Mula ditayangkan pada 13 Mac lalu dan mempunyai 15 episod, Kurma Ajwa Untuk Najwa mengisahkan gelagat manusia yang suka membezakan individu lain mengikut kelas tersendiri.

“Plot cerita ini memang bagus untuk tatapan bersama keluarga kerana ia boleh dikatakan berlaku pada masa kini. Saya pula menggalas tugas berat untuk menjaga ibu yang sudah berusia lakonan Ruminah Sidek.

“Sedangkan saya mempunyai seorang kakak tetapi dia langsung tidak menghiraukan kami yang berada di kampung,” jelas Fazren.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: