Wednesday, March 30, 2011

MIFF pasar produk berasaskan tanah liat


Pasukan Mobile Sertu hanya mengambil masa 15 minit untuk menyiapkan kerja-kerja menyamak sesebuah kontena.


DALAM surah An-Nisa ayat 28 Allah berfirman: Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah.

Justeru, tidak hairan apabila ada antara urusan ibadat kita, antaranya solat, adalah dikecualikan kepada perempuan yang haid dan nifas. Puasa dikecualikan kepada orang sakit berpanjangan.

Ibadat haji pula tidak diwajibkan kepada yang tidak berkemampuan, peperangan dikecualikan kepada orang sakit, lemah, buta dan sebagainya.

Begitu jugalah halnya dengan rukhsah (keringanan) sesuatu tanggungjawab ibadat mengikut kadar kemampuan dan kudrat seseorang tanpa adanya kesusahan seperti orang yang lemah untuk bersolat sambil berdiri dibenarkan solat dalam keadaan duduk. Harus mengqasar dan menjamakkan solat bagi musafir dan diharuskan juga berbuka puasa Ramadan tetapi diqada kemudiannya.

Rukhsah atau keringanan ini juga terangkat dalam urusan membersihkan anggota badan atau barangan dalam urusan samak (sertu) daripada najis mughallazah (berat) yang terkena pada anggota badan, barangan atau harta miliknya. Serta bertayamum bagi menggantikan wuduk sekiranya ketiadaan air atau kekurangan air atau tidak boleh berwuduk atas nasihat doktor disebabkan oleh kecederaan atau penyakit yang tidak boleh terkena air.

Dalam hal samak Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Cara menyucikan bejana seseorang kamu, apabila dijilat anjing hendaklah dibasuh tujuh kali, air pertama hendaklah dicampur dengan tanah. (riwayat Muslim)

Di dalam surah al-Maidah ayat 6, Allah berfirman yang bermaksud: ...Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air) atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau menyentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi hadas), maka bertayamumlah dengan tanah debu yang baik (bersih iaitu sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu (kepayahan), tetapi ia berkehendak membersihkan (menyucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.

Sudah terang kepada kita akan bukti kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya. Meskipun nampak mudah untuk dilaksanakan sama ada dalam urusan samak mahupun tayamum, apatah lagi negara kita Malaysia jarang mengalami krisis bekalan air.

Hakikatnya, ramai umat Islam kita memahami dan mengetahui mengenai tayamum dan samak ini tetapi tidak kurang juga bilangannya yang memandang enteng atau meremehkan hal ini dengan pelbagai alasan yang ada di antaranya seperti tidak boleh diterima akal yang waras.

Terpanggil serta merasakan inilah tanggungjawab setiap Muslim, lebih-lebih lagi mengetahui bahawa suci (taharah) adalah anak kunci dan syarat sah solat maka MIFF Marketing (M) Sdn. Bhd., syarikat pengeluar debu tanah liat memperkenalkan produk khas dikenali Clay Miff yang mengandungi 100 peratus kandungan tanah liat.

Pengarah Urusannya, Ab. Razak Ab. Hadi, 39, berkata, tujuan utama adalah menyediakan satu produk penyelesaian masalah untuk umat Islam Malaysia, khasnya di mana dalam keadaan tertentu mengkehendaki samak atau bertayamum sebelum dapat menunaikan ibadat fardu atau sunat.

Islam tidak menyusahkan hidup umatnya. Dengan adanya debu tayamum itu, pengguna boleh membawa botol ini ke mana sahaja dan cara menggunakannya juga amat ringkas serta mudah.

Kata beliau, pengguna hanya perlu menaburkan debu yang dibungkus umpama bedak tepung ini di atas kertas bersih sebelum melaksanakan tayamum.

"Saya masih ingat waktu mula-mula membawa produk ini ke hospital, saya pernah bertanya kepada seorang pesakit bagaimana dia bertayamum. Jawapannya agak mengejutkan saya, iaitu dengan menggunakan debu habuk yang ada di mana-mana permukaan di sekitar dirinya.

"Kalau kita teliti betul-betul, apa yang difahami oleh pesakit itu tadi kurang tepat dan ini boleh menyebabkan perbuatannya itu satu kerugian.

"Ini kerana, bab berkaitan agama kita tidak boleh ambil mudah sahaja, apa lagi yang berkaitan dengan amal ibadat," kata Ab. Razak ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya, Mohd. Noorzaini Maarof menegaskan, kalau sebelum ini bab halal lebih dikaitkan dengan penyediaan produk makanan dan minuman tetapi apabila kerajaan memperkenalkan halal logistik ramai yang tertanya-tanya apakah maksudnya.

Katanya, selain menyediakan debu tanah liat untuk tayamum, MIFF Marketing juga menawarkan perkhidmatan sertu atau samak menggunakan produk tanah liat dan kaedah yang menepati syariat agama dan memenuhi fardu kifayah.

Apatah lagi, Islam adalah agama yang menekankan aspek inovasi dan kreativiti dalam menangani masalah yang timbul.

"Kalau dahulu ada banyak kekangan dalam melaksanakan kewajipan ini tetapi dengan adanya kepakaran dan teknologi, kita boleh mencipta sesuatu yang diyakini tidak menyalahi hukum agama sebaliknya memberi manfaat serta kemudahan kepada semua dalam beribadat.

"Pada peringkat permulaan, kami banyak melakukan perkhidmatan sertu untuk restoran, rumah dan kilang bagi memastikan ia benar-benar bebas daripada unsur meragukan.

"Terkini, pihak kami mendapat permintaan daripada syarikat antarabangsa yang menyediakan khidmat penyewaan kontena.

"Pelanggan tidak perlu risau kerana proses ini kami jalankan dengan pemantauan dan kerjasama dari Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum melayakkan menerima sijil pengesahan," jelasnya.

Kata Ab. Razak, pihaknya juga mempunyai panel-panel syariah yang dilantik.

Daripada situlah perkhidmatan syarikatnya mula berkembang dan pada masa sama, ia bukan sahaja menimbulkan kesedaran kepada umat Islam tetapi juga kepada bukan Islam bahawa halal bukan sahaja berkait rapat tentang sumber bahan makanan itu tetapi peralatan dan tempat yang bersih, suci lagi menyucikan.

Penggunaan teknologi baru

MEMAHAMI kesibukan orang ramai dan paling penting memudahkan pihak-pihak yang terlibat dengan permasalahan itu, MIFF Marketing menubuhkan pasukan bergerak yang diberi nama Mobile Sertu.

Pasukan itu memang mengkhusus dalam bidang sertu dan mereka cukup cekap serta mempunyai kelengkapan alatan untuk menyamak bagi melancarkan kerja-kerja sertu dalam masa yang singkat.

"Perkembangan teknologi serta tuntutan Islam agar umatnya sentiasa kreatif dan inovatif turut diaplikasikan dalam kerja-kerja di mana kami menggunakan alatan yang dipanggil sertu water jet. Takungan air tanah disemburkan di kawasan yang hendak disamak sebelum melalui enam kali bilasan air mutlak.

"Di samping itu, kerja-kerja yang dilakukan oleh syarikat kami juga bersistem dan konsisten dalam penyediaan perkhidmatan.

"Selesai kerja menyamak, semuanya akan direkod dan kemudian kontena tersebut akan dilekatkan dengan pelekat sertu.

"Sijil sah sertu hanya sah sekali sahaja dan status kontena yang disertu terbatal sebaik saja kontena dibuka dan produk dikeluarkan. Ini kami berani memberi jaminan kerana ia sudah tertakluk di dalam undang-undang perkapalan," kata Ab. Razak.

Kecekapan Mobile Sertu ini terbukti dengan kemampuan mereka melaksanakan satu-satu tugasan dalam tempoh 15 minit untuk satu kontena.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: