Thursday, March 31, 2011

CUN! Karya Terbaik Osman Ali



Jika anda pernah membayangkan bagaimana seorang selebriti popular jatuh cinta dengan orang kampung, maka filem terbaru Osman Ali, CUN! wajar ditonton.

Filem komedi santai ini cuba digarap melalui mimpi indah seorang pemuda kampung yang ingin memiliki cinta artis popular menjadi kenyataan.

Tidak sama dengan dua filem arahan lalunya iaitu Puaka Tebing Biru dan Anak Halal yang lebih serius dan sarat dengan isu di sebaliknya, Osman Ali berkata, CUN! digarapnya secara ringkas dan santai bagi menyentuh hati khalayak filem tempatan.

Kekuatan filem CUN! terletak kepada lawak situasi dan dialog spontan. Tambahan pula sebagai pengarah, Osman Ali tidak begitu mengongkong pelakon dan memberi kebebasan kepada pelakon mereka menjayakan watak.

“Saya cuba menghasilkan kelainan dan memberi penonton sebuah filem bergenre komedi romantik agar lebih dekat dengan hati penonton masa kini.

“Memang CUN! lebih mudah dibuat tapi secara dalamannya ia memang agak sukar untuk dihasilkan kerana bagi saya, jika mahu menghasilkan filem yang mampu menyentuh hati orang ramai, ia bukanlah semudah yang disangka.

“Namun, saya cuba sedaya-upaya untuk rangkumkan segala ilmu yang ada pada diri saya untuk hasilkan sebuah filem yang komedi dan lebih santai,” katanya ketika ditemui selepas majlis pratonton CUN! yang diadakan di GSC, Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Malah, Osman Ali juga cukup teliti dalam soal memilih pelakon kerana beliau tidak mahu keserasian antara hero dan heroin seperti dibuat-buat.

“Masa pilih pelakon kita kena cari pelakon yang benar-benar sesuai untuk Maya. Selepas pilih Remy Ishak, timbul pula isu untuk mencipta keserasian. Saya perlu memastikan cinta antara mereka berdua benar-benar wujud dalam filem terbabit.

“Sebab saya tidak mahu nampak di layar perak keserasian mereka itu tak asli dan hanya dibuat-buat. Mujur, latihan yang dibuat secara kerap banyak membantu untuk mewujudkan keserasian antara mereka berdua,” katanya.

Filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd dan Nuansa Sdn Bhd ini akan membuka tayangannya di 45 pawagam tempatan bermula 31 Mac ini. Dibintangi Maya Karin, Remy Ishak, Jehan Miskin, Faezah Elai, Kartina Aziz dan ramai lagi, CUN! sesuai ditonton semua lapisan umur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: