Monday, February 28, 2011

Tip penjagaan pokok petai


pokok yang baik berbuah dengan kadar enam kilogram sepokok dalam setahun.


Pengenalan
Pokok petai merupakan tumbuhan asli negara ini dan masih tumbuh meliar di kawasan hutan serta banyak terdapat di rantau Asia Tenggara.

Petai boleh diumpamakan sebagai raja segala ulam di kalangan penggemarnya kerana sedap dimakan secara segar, menjadi penyedap rasa di dalam masakan, malahan dijadikan sebagai dijeruk dan produk hiliran.

Nama botani atau saintifiknya petai ialah Parkia speciosa dan tergolong di dalam keluarga Leguminasae.

Pokok petai boleh ditanam dengan menggunakan sistem segi empat sama dengan jarak antara pokok ialah 12 meter x 12 meter.

Jumlah pokok petai yang boleh ditanam bagi keluasan sehektar ialah 69 pokok.

Teknik pembiakan pokok petai boleh dilakukan secara cantuman mata tunas dan biji benih.

Untuk pembiakan secara biji benih, digalakkan memilih biji petai yang telah tua dan besar.

Ia perlu disemai di dalam polibeg kecil atau kotak semaian pasir.

Selepas biji bercambah, tinggalkan satu anak benih yang sihat sahaja untuk hidup subur dan membesar.

Pembiakan secara mata tunas pula memerlukan pokok penanti petai, mata tunas petai dan peralatan cantuman seperti pisau cantuman dan plastik pembalut lutsinar.

Pokok yang telah berjaya dicantum akan diberikan naungan sehingga berumur tujuh bulan.

Pokok yang berumur melebihi umur tujuh bulan amat sesuai ditanam di kebun.

Tip Penjagaan

Di antara tip penjagaan pokok petai yang dapat dikongsi pada ruangan kali ini adalah seperti berikut:

Pengairan

* Pengurusan air yang berkesan dan teratur dapat menyumbang kepada peratus hidup yang tinggi di samping dapat memberikan kelembapan pada tanah dan suhu pokok.

* Terdapat dua kaedah pengairan yang boleh digunakan untuk membekalkan air kepada pokok iaitu secara manual

(tong penyiram air) dan sistem pengairan secara titis.

* Pemasangan pengairan secara titis memerlukan kemudahan seperti kolam atau takungan air, pam air, paip utama, paip penghubung dan komponen pengairan titis. Kelebihan penggunaan pengairan secara titis ialah dapat menjimatkan penggunaan air di samping mengurangkan kos penyiraman anak pokok.

* Anak pokok petai perlu disiram sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu pada awal pagi dan lewat petang.

* Tempoh untuk menyiram anak pokok bergantung kepada keadaan cuaca semasa dan keperluan air oleh pokok, akan tetapi mengikut kebiasaannya mengambil masa dua hingga tiga bulan selepas ditanam.

Pengawalan rumpai

* Kawalan rumpai boleh dijalankan dengan menggunakan cangkul di peringkat awal dan penggunaan sungkupan dikeliling anak pokok memang dapat membantu mengawal rumpai secara berkesan.

"Selain itu, penggunaan racun rumpai yang bertindak secara sentuh (paraquat) boleh digunakan untuk mengawal rumpai yang tumbuh dikeliling anak pokok.

* Kekerapan meracun rumpai adalah disyorkan empat kali setahun dengan semburan di sekeliling pangkal pokok sahaja.

Pembajaan

* Program pembajaan anak pokok petai perlu dilakukan dengan kekerapan empat kali setahun.

* Penggunaan baja tumbesaran pada peringkat awal penanaman memang dapat membantu mempercepatkan pertumbuhan tunas, ranting dan pucuk yang baru dengan sempurna dan baik.

* Tahun pertama, penggunaan baja tumbesaran dengan kadar 600 gram sepokok untuk tempoh setahun. Ia perlu dibahagikan kepada empat kali pembajaan dalam setahun.

* Selepas pokok mengeluarkan hasil, penggunaan baja buah perlu untuk menggalakkan pokok berbuah dengan kadar enam kilogram untuk sepokok dalam setahun.

* Kaedah pembajaan yang paling baik dipraktikkan ialah dengan kaedah empat poket di keliling kanopi pokok. Selepas baja dimasukkan ke dalam lubang, tutup semula dengan tanah.

* Baja organik perlu ditabur dengan kadar antara 10 dan 20 kilogram dalam setahun. I juga bergantung kepada umur pokok dan kesuburan tanah. Kekerapan membaja ialah dua kali setahun.

* Kelebihan baja organik ialah dapat membantu menyuburkan tanah, membekalkan baja secara berterusan dan mempercepatkan pertumbuhan pokok secara optimum.

Pemangkasan

Pangkasan atas pokok (topping) digalakkan apabila ketinggian pokok petai mencapai 10 meter bagi mengawal ketinggian pokok untuk mengatasi kesulitan mengambil buah dan mengelakkan lenggai (papan) luka dan calar jika jatuh ke tanah semasa mengait buah.

Kawalan perosak

l Di antara perosak pokok dan buah petai pula adalah ulat pengorek batang dan buah. Di samping itu, haiwan liar seperti monyet dan tupai juga kerap memakan buah petai.

* Kawalan ulat pengorek batang adalah dengan menggunakan racun serangga dengan bahan aktif methamidophos, diazinion dan lain-lain racun yang disyorkan.

* Amalan kebersihan kawasan kebun yang baik dapat mengurangkan risiko pokok dan buah petai diserang perosak.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: