Monday, February 28, 2011

Pendekatan rundingan MPP UUM


Dr. Mohamed Mustafa Ishak beramah mesra dengan kepimpinan baru Majlis Perwakilan Pelajar di Universiti Utara Malaysia, baru-baru ini.


Mahasiswa yang baru memenangi pilihan raya pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2010/2011 di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada minggu lalu berhasrat untuk mewujudkan perundingan dengan pihak universiti dalam menyelesaikan masalah pelajar mahupun memberi cadangan untuk bersama merealisasikan hasrat universiti.

Ku Amirul Faiz Ku Seman, 22, yang memenangi kerusi umum berkata, perundingan adalah cara terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

“Kami melihat proses perundingan merupakan cara terbaik bukan sahaja untuk mencari jalan penyelesaian yang kami hadapi malah mungkin dapat menguntungkannya,

“Proses perundingan penting kerana dapat meningkatkan keupayaan dalam mematangkan kepimpinan mahasiswa dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

“Proses pembelajaran tidak hanya semata menjawat jawatan dalam MPP, namun MPP perlu membuka minda untuk berhadapan dengan cabaran dan tuntutan pada masa hadapan. Sebagai kepimpinan mahasiswa baru, pelajar mengharapkan MPP akan membawa suatu perubahan yang positif kepada universiti dan negara,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Bagi calon umum, Amer Izzuddin Abdul Rashid, 22, yang mendapat undi 12,340 iaitu yang tertinggi berkata, perubahan sikap dalam kalangan mahasiswa perlu dilakukan kerana desakan bukanlah cara terbaik untuk mendapatkan sesuatu yang mampu mengorak langkah ke arah menyatupadukan antara universiti dan pelajar.

“Saya yakin sebagai mahasiswa yang berfikiran intelektual dan terbuka harus mengkaji secara mendalam sebelum desakan dilakukan.

“Pendekatan yang terbaik adalah menggunakan adalah melalui perundingan dalam mendapatkan atau menyampaikan sesuatu kepada pihak Pengurusan universiti,” katanya.

Amer Izzuddin berkata, mahasiswa juga perlu mentafsirkan kehendak perubahan itu dengan perkataan 'gap' atau jurang di antara masa lalu dengan masa kini dan di antara persekitaran sekarang dengan persekitaran masa lalu.

“Apabila mahasiswa memahami erti perubahan menempuhi realiti dan cabaran semasa bagi mengatasi jurang yang ada, sekali gus membawa kepada kemajuan kepada universiti dan negara,” katanya.

Sementara itu, Rafidah Mahmad, 21, yang berasal dari Kota Samarahan, Sarawak berkata, beliau dan rakan-rakan yang memenangi pilihan raya akan kampus akan bekerja keras dan melakukan perubahan dengan mengambil pendekatan untuk berunding bagi mendapatkan sesuatu dengan pihak pentadbiran universiti.

“Saya yakin barisan kepimpinan baru MPP akan mampu membawa perubahan dalam menjayakan aspirasi UUM. Perubahan yang terpenting dalam mencapai misi universiti itu ialah ke arah kecemerlangan serta menjaga kebajikan pelajar.

“Dua misi ini menjadi tumpuan utama kami. Untuk itu, pelbagai program bakal dirancang dan disusun bagi menjayakannya," ujarnya.

Pilihan raya Kampus UUM menyaksikan 95.6 peratus yang keluar mengundi daripada 15,204 yang berdaftar.

Pengundian dijalankan bagi memilih MPP bagi 12 kerusi umum dan masing-masing 8 bagi kerusi Kolej UUM CAS, UUM COB dan UUM COLGIS.

Pengumuman bagi keputusan itu diumumkan oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak di Pusat Kegiatan Pelajar (PKP), UUM.

Dr. Mohamed Mustafa berkata, beliau berpuas hati dengan peratus yang keluar mengundi dan berharap mereka yang memenangi pilihan raya ini akan bekerja keras untuk memberi perkhidmatan seperti yang dijanjikan semasa berkempen.

“Saya berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya kali ini kerana semuanya berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini kerana proses pilihan raya dijalankan secara demokratik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Dr. Mohd. Amy Azhar Mohd. Haris berkata, kesemua pemimpin pelajar yang dipilih ini akan menjalani kursus kepimpinan selama tiga hari mulai petang ini di Sungai Petani, Kedah.

Sebanyak 19 institusi pengajian tinggi (IPT) mengadakan pemilihan MPP dengan 12 IPT mengadakan pilihan raya kampus pada 22 Februari lalu.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dijadualkan mengadakan pemilihan pada 24 Februari lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: