Monday, February 28, 2011

Lelaki mabuk tiada lesen ditahan


SEBAHAGIAN daripada motosikal yang diperiksa polis dalam operasi di Plaza Tol Bagan Ajam Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth di Butterworth semalam.


BUTTERWORTH - Seorang lelaki yang bertindak berani memandu kereta walaupun tiada lesen memandu selepas disenarai hitam ditahan di Plaza Tol Bagan Ajam, Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (LTB) di sini tengah malam semalam.

Semasa ditahan pada pukul 12.45 malam itu, lelaki berusia 30-an itu bukan saja mabuk malah polis yang memeriksa kereta Perodua Viva dipandunya menemui sepucuk pistol mainan yang menyerupai pistol sebenar disimpan di dalam but.

Pegawai Penguat Kuasa Trafik Bukit Aman, Asisten Supritendan Huzir Abdul Majid berkata, lelaki itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara untuk tindakan lanjut.

Dia disiasat mengikut Seksyen 45c(6) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk serta Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki pistol palsu.

Dalam pada itu, Huzir memberitahu, operasi bersepadu yang dijalankan itu melibatkan 13 anggota trafik Bukit Aman, 20 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya dengan dibantu 53 anggota polis negeri ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: