Monday, February 28, 2011

Inspirasi dari pengguna


Tim Leatherman menyerahkan Leatherman Super Tool kepada Radha Krishnan sempena ulang tahun ke-25 jenama itu di Malaysia.


LEATHERMAN merupakan alat pelbagai guna yang terkenal di kalangan peminat aktiviti luar termasuk Malaysia. Malah alat dengan pelbagai fungsi daripada playar, pemutar skru hingga ke pisau dan gergaji itu penting dalam melakukan aktiviti luar.

Sebab itu tidak hairanlah gajet berkenaan sudah bertapak selama 25 tahun di negara ini.

Lebih menarik, salah satu idea dalam penghasilan alat pelbagai guna Leatherman yang kini mencapai 46 model itu diperoleh daripada seorang rakyat Malaysia, Mohd. Noor Mohammad.

Menurut pengasas Leatherman, Tim Leatherman, beliau menerima surat daripada Mohd. Noor pada Oktober 1989 yang mahukan dia melakukan sesuatu kepada Pocket Survival Tool (PST).

Menurut surat Mohd. Noor yang dihantar kepada Tim, dia mendapati PST merupakan satu gajet yang amat bagus namun mempunyai kekurangan.

“Surat Mohd. Noor mengatakan alat pelbagai guna saya itu tidak mempunyai gergaji. Saya berfikir sejenak, bagaimana hendak meletakkan gergaji di alat yang sekecil ini?

“Pada orang biasa mungkin sukar. Namun idea Mohd. Noor membuka lembaran baru kepada model alat pelbagai guna kami yang akhirnya kini kebanyakannya mempunyai gergaji mini yang mempunyai kekuatan hampir sama dengan gergaji besar,” katanya.

Mengulas mengenai idea untuk membuat alat pelbagai guna ini, Tim berkata, ketika dia dan isterinya mengembara ke Eropah dan Asia Barat pada tahun 1975, kerosakan kereta yang kerap dan sistem paip hotel yang sering bocor membuatkan dia terfikir untuk mereka bentuk alat pelbagai guna yang senang untuk dibawa ke mana-mana.

Sejak itu, dia mula mereka bentuk alat berkenaan yang memakan masa lapan tahun sebelum prototaip PST berjaya dihasilkan.

Namun, ia tidak mendapat sambutan kerana para penjual alatan masih skeptikal.

Namun usaha yang dilakukan Tim akhirnya mendapat sedikit sambutan daripada Cabelas dan Early Winters yang membuat sedikit pesanan.

Sejak itu, jenama Leatherman semakin dikenali dan berjaya dijual di 82 negara di seluruh dunia.

Di Malaysia, Universal Fitness and Leisure Sdn. Bhd. (UFL) merupakan pengedar tunggal jenama Leatherman sejak 1986.

“Jadi untuk menyambut ulang tahun ke-25 Leatherman di Malaysia, kami akan mengedarkan jenama itu dengan ukiran khas Ulang Tahun 25 Tahun dan juga dengan harga promosi untuk beberapa produk Leatherman terpilih.

“Produk-produk edisi khas itu agak terhad dan mereka yang ingin mendapatkannya perlu membuat pesanan kepada kami,” kata Pengarah Urusan UFL, Datuk Radha Krishnan.

Menurut Radha lagi, untuk tahun ini juga, pihaknya mensasarkan jualan bernilai RM1juta bagi jenama Leatherman di Malaysia.

Kata beliau, ini boleh dicapai disebabkan tahun lepas jualan jenama itu mencatatkan nilai RM800,000.

Menarik tentang Leatherman ialah mereka menawarkan jaminan selama 25 tahun ke atas semua produk mereka dan akan ditukar jika terdapat kerosakan termasuk jika patah semasa digunakan.

Tahun ini menurut Tim, pihaknya akan menumpukan perhatian kepada reka bentuk alat pelbagai guna yang lebih spesifik terutama kepada penggemar aktiviti berbasikal.

Tim turut menghantar produknya kepada setiap 33 pelombong Chile yang terselamat selepas terperangkap di dalam lombong gurun Atacama selama dua bulan.

Sila ke www.leatherman.com atau www.ufl.com.my untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai jenama ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: