Monday, February 28, 2011

Inovasi untuk petani


Hasmin Hakim Abdullah menunjukkan isi rambutan dalam air gula sama seperti longan dan laici.


Perkembangan industri pertanian menyebabkan permintaan tenaga buruh tinggi dan pada masa sama kosnya membimbangkan pengusaha.

Pelbagai langkah perlu diambil bagi menghadapi masalah pengambilan tenaga buruh asing.

Pada masa sama, pelbagai agensi kerajaan mula membangunkan program berasaskan mekanikal dan automasi selaras dengan perkembangan industri pertanian.

Berdasarkan laporan beberapa tahun lepas, penggunaan jentera dan mesin pertanian hanya 14 peratus dan wajar ditingkatkan memandangkan banyak inovasi pertanian telah dibangunkan bagi membantu golongan usahawantani.

Di negara ini, peneraju pembangunan teknologi pertanian ialah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

MARDI ditubuhkan sejak empat dekad lalu telah menghasilkan pelbagai mesin bagi membantu industri kecil dan sederhana (IKS) .

Lebih membanggakan, banyak mesin ciptaan MARDI bukan saja mendapat pengiktirafan pada pertandingan reka cipta dan inovasi di dalam dan luar negara malah telah dipaten, dikomersial dengan lesen dan digunakan oleh usahawantani.

* Sistem penggredan automatik bagi buah-buahan tropika

Mesin yang mendapat sentuhan pegawai penyelidik di Pusat Penyelidikan Automasi dan Mekanisasi MARDI, Dr. Teoh Chin Chuang berupaya menggredkan empat jenis buah iaitu belimbing, mangga, betik dan nanas.

Dr. Chin Chuang berkata, idea membina sistem penggredan buah-buahan bermula apabila melihat kesulitan pusat pengumpulan menggred buah-buahan.

"Pekerja yang mahir diperlukan bagi meneliti warna buah selain mesin penimbang bagi menimbang berat buah seperti yang ditetapkan oleh Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA).

"Bagaimanapun masalah timbul apabila tiada keseragaman dalam penggredan semasa pemeriksaan FAMA," katanya.

Mesin yang dibangunkan oleh Dr. Chin Chuang menepati piawaian FAMA bagi tujuan eksport dengan ketepatan 98 peratus bagi warna dan hampir 100 peratus bagi berat.

Menggunakan mesin ini, pengusaha boleh menggred buah-buahan sebanyak 800 biji sejam hanya dengan dua tenaga kerja yang tidak berpengalaman.

"Seorang pekerja diperlukan bagi meletakkan buah-buahan ke mesin dan seorang lagi bagi pembungkusan buah-buahan," katanya.

Berbanding dengan kaedah manual, 10 orang pekerja hanya dapat menggredkan tidak sampai satu tan buah-buahan dalam masa lapan jam.

Menjalinkan kerjasama dengan Dynatex Solution Sdn. Bhd., MARDI telah memohon paten bagi mesin berkenaan dan memberikan lesen kepada syarikat berkenaan untuk mengkomersialkannya.

Mengambil masa tiga tahun membangunkan mesin berkenaan, rekaan Dr. Chin Chuang berjaya memikat hati juri apabila dianugerahkan Pingat Emas dan Anugerah Produk Malaysia Paling Inovatif semasa dipertandingkan di ITEX 2010 baru-baru ini.

* Pemutar Dorong Diri Kuasa MADOX

Industri sawit di negara ini menjana pendapatan kira-kira 17.4 juta tan tandan kosong sawit sepanjang tahun.

Ini merupakan sumbangan besar bahan mentah bagi menghasilkan baja organik.

Pihak RISDA, Sime Darby serta beberapa pengeluar berpotensi menghasilkan kira-kira 100 tan sejam tandan kosong sawit dan 100 tan sehari kompos.

Kompos dihasilkan menerusi proses aerobik dan pengeringan sisa pertanian yang memerlukan penggunaan mesin pembancuh.

Dalam proses kompos, mikrob perlu digaul sekata bagi memastikan taburan mikrob sekata dengan menggaul sekata sisa pertanian.

Justeru Pegawai Penyelidik di Pusat Penyelidikan Automasi dan Mekanisasi, MARDI, Muhammad Isa Othman membangunkan jentera membancuh yang dapat membantu usahawan baja organik.

Istimewanya jentera yang dinamakan MADOX mudah diselaraskan pada ketinggian berbeza dengan lebih berkesan.

"MADOX dapat membantu usahawan dalam proses penghasilan bahan kompos dengan menjadikan campuran mikrob, air dan mineral lebih sekata," katanya.

Pembancuh yang direka khusus bagi kotak gear tork tinggi MADOX menggunakan sistem motor hidraulik tunggal berkuasa rendah.

Teknologi berkenaan dibangunkan berdasarkan rekaan model tiga dimensi (3D) melibatkan pembuatan

pembancuh besar dan berat serta kotak gear.

"Jentera ini mudah digunakan sama ada di dalam bangunan atau tempat tertutup tanpa perlu mengubah struktur bangunan," katanya.

Jentera yang mendapat tiga anugerah iaitu Pingat Emas, Anugerah Malaysia Innovative Product dan Best Invention Research Institute/Organisations Category dalam proses pendaftaran paten manakala pengkomersialan sedang dijalankan bersama-sama syarikat Malift Sdn Bhd - Puchong Jentera.

* Mesin Mengasing Biji Rambutan

Rambutan merupakan salah satu buah-buahan tropika yang menghadapi masalah lambakan setiap musim.

Salah satu kaedah bagi mengatasi masalah berkenaan adalah dengan memproses rambutan dengan memberikan nilai tambah.

Bagaimanapun proses mengasing kulit dan biji rambutan adalah rumit, memakan masa dan memerlukan tenaga buruh yang ramai.

Bagi mengembangkan industri pemprosesan rambutan, pengeluaran perlu banyak dan berterusan.

Bagaimanapun kos tenaga kerja yang tinggi sedikit sebanyak melumpuhkan industri pemprosesan rambutan.

Bagi mengatasi masalah berkenaan Pegawai Penyelidik MARDI, Hasmin Hakim Abdullah telah mereka mesin mengasing biji dan kulit rambutan bagi kegunaan industri kecil dan sederhana.

"Mesin yang digunakan adalah unik, ringkas tetapi amat sesuai bagi mengasing biji dan kulit rambutan serentak," katanya.

* Mesin berkenaan terdiri daripada tiga komponen utama iaitu

*komponen mengasingkan biji rambutan yang boleh disesuaikan dengan biji rambutan

*konsep menghiris kulit rambutan tanpa merosakkan isi

*saiz acuan yang boleh diubah bergantung kepada saiz buah

Hasmin berkata, mesin berkenaan mudah digunakan walaupun oleh pekerja tidak mahir manakala saiz acuan boleh diubah bergantung kepada varieti buah.

Mesin berkenaan boleh digunakan bagi membangunkan produk tambah nilai bagi pasaran tempatan dan eksport.

Selain itu ia dapat mengurangkan kos dengan memproses sehingga 360 biji rambutan sejam berbanding manual.

"Bagaimanapun lebih banyak rambutan boleh diproses apabila empat hingga enam pengasing biji rambutan digunakan serentak," katanya.

Mesin berkenaan sesuai digunakan bagi industri kecil dan sederhana (IKS) bagi menghasilkan produk koktel, produk kaleng, jus, produk vakum kering dan produk beku kering.

* Sistem mengasingkan biji benih cili tanpa air

Kesedaran mengenai kepentingan mengeluarkan tanaman makanan dan biji benih sendiri semakin meningkat.

Bagaimanapun sehingga kini negara masih lagi mengimport biji benih tanaman dan sayur-sayuran dari luar negara.

Terdapat pelbagai peringkat dalam industri menghasilkan biji benih dan peringkat yang kritikal adalah sistem mengasingkan biji benih.

Terdapat pelbagai masalah berkaitan dengan pengasingan biji benih terutamanya cili dan biasanya petani menggunakan pisau bagi membelah cili dan mengasingkan biji benih cili.

Proses berkenaan biasanya menyebabkan keadaan tidak selesa kepada pekerja.

Justeru pegawai penyelidik Pusat Penyelidikan Automasi dan Mekanisasi, Yahaya Sahari membangunkan satu sistem bagi mengasingkan biji benih cili tanpa menggunakan air.

Sistem berkenaan terdiri daripada dua buah mesin iaitu mesin mengekstrak dan mesin mengasing biji benih tanpa menggunakan air.

"Hanya biji benih yang masak sepenuhnya akan digunakan untuk mendapatkan biji benih yang berkualiti.

"Sistem ini mengekstrak dan memisahkan biji benih cili yang segar dan sebaik saja dituai di ladang," katanya.

Mesin mengekstrak berfungsi menghancurkan dan membahagikan dua buah cili agar biji benih dapat dikeluarkan daripada bahagian dalam isinya.

Manakala mesin mengasing pula berfungsi untuk memisahkan biji benih cili daripada isinya dengan mudah.

Sistem berkenaan, jelas Yahaya boleh memproses sehingga 30 kg buah cili sejam berbanding 4 kg berbanding konvensional.

Menggunakan sistem berkenaan kadar kehilangan biji dapat dikurangkan malah dapat kadar percambahan meningkat sehingga 90 peratus.

"Sistem ini dijangka dapat menyelesaikan banyak masalah seperti tenaga kerja, mengurangkan kos pengeluaran dan menjadikan industri biji benih lebih berdaya saing," katanya.

Inovasi berkenaan jelas Yahaya dapat meningkatkan produktiviti kerana tidak memerlukan tenaga mahir dan

berpengalaman.

Apa yang lebih menarik, sistem berkenaan mudah dikendalikan dan diselenggarakan telah digunakan di MARDI, Jalan Kebun, Kelang, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: