Monday, February 28, 2011

Alumni perlu sumbang kepada universiti


Najib Tun Razak bergambar bersama penerima anugerah selepas menyampaikan Anugerah Khas Alumni 2011 pada Majlis Bersama Pemimpin anjuran Persatuan Alumni UIAM di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 27 Feb. - Bekas penuntut atau alumni institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu berperanan menyumbang kepada kejayaan serta pembangunan universiti, masyarakat dan negara.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mereka mempunyai kekuatan tersendiri dan perlu mencontohi alumni universiti terkemuka dunia seperti Havard University dalam memajukan bukan sahaja universiti malah negara.

"Kita di sini masih belum sampai ke peringkat itu lagi. Ada banyak cara alumni mampu memberi sumbangan yang bermakna kepada perkembangan universiti dan pembangunan negara.

"Pertamanya, sumbangan secara langsung kepada kejayaan universiti seperti dari segi kewangan. Mungkin alumni melalui persatuannya dapat membiayai pengajian penuntut.

"Keduanya, peranan mereka dalam konteks kemasyarakatan. Mereka perlu melaksanakan tanggungjawab sosial, umpamanya alumni boleh turun padang mengajar bahasa Inggeris di kampung-kampung," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Bersama Pemimpin anjuran Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini malam ini.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Mengulas lanjut Najib berkata, selain universiti dan masyarakat, alumni juga boleh membantu kerajaan dalam mendukung agenda nasional.

"Untuk menjadi negara maju menjelang 2020, kita perlu sokongan dan penglibatan semua rakyat terutama lepasan universiti. Jika anda (alumni) menyokong, saya percaya kita mampu mencapai agenda nasional," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Najib memberitahu menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kerajaan telah memperuntukkan RM2.68 bilion untuk membiayai pengajian penuntut di peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran (PhD).

Daripada peruntukan itu, seramai 24,300 orang menerima pembiayaan PhD dan 40,000 lagi di peringkat sarjana.

Terdahulu, Najib turut melancarkan logo rasmi Persatuan Alumni UIAM dan menyampaikan Anugerah Tokoh Alumni 2011 kepada Dr. Mahathir serta anugerah-anugerah lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: