Sunday, January 30, 2011

'Tsuiso battle' jadi tumpuan

pix_middle

KAWASAN parkir berhampiran Istana Kehakiman di Putrajaya tiba-tiba berubah menjadi litar lumba dan suasana 'hangat' mula menyelubungi, ditambah lagi dengan bunyi ekzos dan geseran tayar yang membingitkan telinga.

Bagi sesetengah orang, bunyi berkenaan dianggap pencemaran bunyi namun bagi peminat sukan drift, ia ibarat lantunan muzik yang membangkitkan rasa teruja.

  • Foto

    DRIFT...sukan yang semakin mendapat perhatian ramai, terutama golongan muda.

  • Foto

    TSUISO BATTLE...lebih mencabar dan menguji kemampuan pelumba untuk mengendalikan kenderaan mereka.

  • Foto

    BERBAKAT...pelumba muda yang berjaya mencuri perhatian penonton.

Kelibat pelumba yang memandu kereta diubah suai mengikut kesesuaian sukan itu menjadi perhatian ramai walaupun belum menunjukkan kehebatan masing-masing.

KBS GT Radial Drift Battle yang berlangsung baru-baru ini bagai menghidupkan suasana kompleks kerajaan di Putrajaya yang lazimnya 'sunyi' pada hujung minggu.Malah, hujan ketika pelumba rancak menunjukkan skil tidak menjejaskan kehadiran penonton, sebaliknya mereka terus terpaku melihat kenderaan meluncur laju dan dihidangkan dengan aksi drift yang mengagumkan.Perlumbaan anjuran KBS dengan kerjasama syarikat pengeluar tayar, GT Radial itu menyaksikan penyertaan 35 pelumba (drifter) dari seluruh negara.


Pelumba diberi peluang menguji kenderaan masing-masing dan 'mengkaji' keadaan litar sebelum peringkat kelayakan dimulakan.

Inisiatif dibawa KBS ini dilihat cuba menampilkan sudut perspektif yang positif terhadap sukan yang sebelum ini sering dikaitkan dengan gejala lumba haram.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan KBS, Madzrib Ibrahim berkata, perlumbaan ini diadakan sebagai usaha mempopular dan mengembangkan sukan permotoran, khususnya drift dan autoshow di kalangan masyarakat.

Katanya, tidak dapat dinafikan ada pihak memandang negatif terhadap belia yang terbabit dalam aktiviti lumba haram tanpa berusaha mewujudkan ruang untuk mereka melakukannya secara 'halal'.

"Dengan penganjuran perlumbaan ini, ia boleh dijadikan platform untuk mendekati golongan belia secara telus sehingga ke peringkat akar umbi.

"Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan sukan ini juga satu daripada medium untuk memupuk perpaduan di kalangan komuniti belia," katanya.

Selain itu, katanya, ia sebagai menyahut seruan Perdana Menteri yang mahu mempromosi Putrajaya sebagai Bandar Mesra Belia.

Justeru, pelbagai program diatur oleh KBS sepanjang tahun ini bagi merealisasikan hasrat dan pada masa sama golongan belia mendapat manfaatnya.

"Untuk perlumbaan KBS GT Radial Drift Battle, empat lagi pusingan akan dilangsungkan sebelum pusingan akhir yang dijangka diadakan pada Disember depan.

"Selain itu, KBS merancang mengadakan Autoshow dan Autokhana untuk menarik lebih ramai belia ke Putrajaya," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pasukan GT Radial, Benny Kerk berkata, dua kategori dipertandingkan iaitu novice dan expert.

Katanya, pada peringkat kelayakan hanya 16 daripada 35 pelumba yang mengambil bahagian akan terpilih ke peringkat seterusnya iaitu 'tsuiso battle'.

"Di peringkat kelayakan, pemandu akan menunjukkan aksi dan kemahiran secara individu di mana mereka dinilai daripada aspek kelajuan, drift angle dan keupayaan untuk hampir pada 'clipping point'.

"Setiap aspek yang dinilai menyumbang mata atau 'point' kepada pelumba dan mereka diberi dua peluang untuk menunjukkan kehebatan," katanya.

Menurutnya, tiga clipping point ditanda dengan kon, di mana pelumba perlu bergerak serapat mungkin pada kon berkenaan tanpa melanggarnya.

Katanya, bahagian depan kereta perlu dirapatkan pada kon pertama, manakala untuk kon kedua bahagian belakang pula harus didekatkan dan kon ketiga, ia perlu dirapatkan pada bahagian depan kereta.

"Kon itu lazimnya diletakkan pada selekoh di dalam litar dan ia sememangnya menguji ketangkasan pelumba untuk mengawal stereng dan kenderaan mereka.

"Pada masa sama mereka (pelumba) perlu mencuri mata dengan melakukan angle iaitu kemampuan mengambil selekoh secara 'menyenget'. Lagi besar angle dilakukan, lagi banyak mata diperoleh," katanya.

Peringkat seterusnya adalah 'tsuiso battle' yang sememangnya dinantikan peminat drift kerana ia lebih menarik dan mendebarkan dan ia adalah pusingan kalah mati.

Pada peringkat ini, dua pelumba (A dan B) berentap sesama sendiri, di mana pelumba B yang berada di belakang perlu mengekori rapat pelumba A.

"Mata diberi berdasarkan jarak antara kedua-dua kenderaan itu. Kemampuan pelumba B untuk mengurangkan jarak akan memberi kelebihan kepadanya.

"Bagi pusingan kedua pula, pelumba B berada di depan dan pelumba A melakukan perkara sama. Jika jumlah mata yang dikumpul sama, pelumba terpaksa berentap sekali lagi hinggalah seorang daripada mereka dinobatkan sebagai pemenang," katanya.

Hujan di pertengahan perlumbaan tidak mampu menyejukkan suasana yang sememangnya hangat dengan pelumba terus menampilkan aksi menarik biarpun keadaan litar basah dan licin.

Juara perlumbaan membawa pulang wang tunai RM300 berserta piala dan sijil, kedua (RM200), ketiga (RM100) manakala tempat keempat hingga kelapan menerima piala dan sijil.

Sukan drift terkenal dalam perlumbaan All Japan Touring Car Championship lebih 30 tahun lalu dengan Kunimitsu Takahashi selaku pengasas teknik drift pada 1970-an.

Ia merujuk kepada teknik memandu yang mana pemandunya sengaja mengambil selekoh dengan laju hingga hilang cengkaman pada tayar sambil mengekalkan kawalan kereta.

Bagi Mohd Nazam Shah Sulaiman, 28, hujan sedikit sebanyak menggoyahkan keyakinannya, sekali gus menggugat konsentrasinya untuk mempamerkan aksi cemerlang.

Katanya, sebelum perlumbaan dimulakan, dia meletakkan sasaran untuk menempatkan dirinya antara tiga pelumba teratas, namun hujan bagai menidakkan peluang itu.

"Pada permulaannya, saya yakin untuk menepati sasaran tetapi apabila cuaca bertukar mendung dan rintik-rintik hujan mula kelihatan, saya mula berasa 'cuak'.

"Saya menggunakan enjin berkuasa turbo yang mempunyai prestasi tinggi dan laju, jadi apabila keadaan basah dan licin, ia mendedahkan saya kepada risiko terbabas," katanya.

Dia yang tiga tahun bergiat secara aktif dalam sukan ini tetap berpuas hati biarpun sekadar menduduki tempat ketujuh secara keseluruhan.

Katanya, setiap perlumbaan disertainya dijadikan kayu pengukur kepada kemampuannya dan akan memastikan prestasinya meningkat.

"Lumrah dalam perlumbaan, setiap pelumba meletakkan sasaran untuk muncul sebagai juara, namun saya lebih mementingkan tahap prestasi.

"Melalui perlumbaan sebegini, ia sebenarnya memberi peluang kepada pelumba untuk berinteraksi dengan pelumba dari seluruh negara di samping berkongsi pendapat, skil dan kemahiran," kata anak muda kelahiran Sungai Besar ini.

Jika dilihat corak perlumbaan sukan ini, pasti ada yang melabelkan ia sukan berbahaya dan berisiko tinggi.

Namun bagi Muhammad Zaiham Hamdan, 25, bahaya atau tidak bergantung kepada kemampuan pelumba untuk mengendalikan jentera masing-masing.

Katanya, bukan bermakna sukan ini sifar kecederaan tetapi ia boleh diatasi jika pelumba tahu apa patut dilakukan apabila berdepan situasi genting.

"Daripada kereta hinggalah pemandu, semuanya dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan. Sut dipakai mampu mengelak pemandu dijilat api jika berlaku kebakaran untuk tempoh tiga hingga lima saat.

"Mana-mana sukan di dunia mempunyai risiko kecederaan tersendiri, tetapi kita sebenarnya mampu meminimumkan kesannya," katanya.

Melihat aksi anak muda kelahiran Kota Singa ini menimbulkan rasa kagum kerana dia antara nama yang disebut-sebut ketika perlumbaan berlangsung.

Memandu kereta jenis Silvia S15, dia menggunakan segala pengalamannya untuk memberi saingan kepada pelumba yang jauh lebih 'senior' daripadanya.

Walaupun tidak berjaya menempatkan diri antara lima terbaik akibat masalah teknikal, tidak langsung terlintas rasa kecewa.

Baginya, kalah menang adat pertandingan. Kalah dalam satu perlumbaan bukanl bermakna akan berterusan dirundung malang, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk menunjukkan aksi lebih hebat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: