Sunday, January 30, 2011

Teknologi pencetak komprehensif


Melvyn Ho (kanan) bersama Pengarah Bahagian Produk Sistem Pengguna, Donny Ling (tengah) pada majlis pelancaran rangkaian produk pencetak imageCLASS di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SYARIKAT peneraju global dalam pembangunan produk pengimejan digital, Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. baru-baru ini memperkenalkan rangkaian mesin pencetak pelbagai guna imageCLASS.

Hadir bersama enam model pencetak mono-laser semua dalam satu (AiO) dan sebuah model color-laser AiO, operasinya disasarkan kepada para pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

Untuk pencetak mono-laser, model yang ditampilkan adalah imageCLASS MF4580dn, MF4570dn, MF4550d, MF4450, D520 dan MF4412 sementara color-laser tersedia pada model imageCLASS MF9280Cdn.

Kesemuanya disempurnakan dengan kepelbagaian fungsi pengimejan seperti mencetak, mengimbas menyalin dan juga perkhidmatan faks.

Bagi memenuhi keperluan itu, setiap model pencetak tersebut disempurnakan bersama teknologi komprehensif dengan konfigurasi lebih spesifik merangkumi kualiti, produktiviti dan juga menjimatkan kuasa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia, Melvyn Ho, rangkaian pencetak moden itu bakal menepati keperluan serta membantu aktiviti perniagaan kecil dan juga pejabat di rumah.

"Kita memahami operasi perniagaan kecil dan sederhana mempunyai bajet perbelanjaan yang terhad.

"Jadi, di samping menjimatkan kos, kehadiran pencetak-pencetak ini diharap dapat membantu perusahaan IKS memaksimumkan produktiviti bisnes mereka,'' katanya pada perasmian pencetak imageCLASS di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Melihat kelebihan rangkaian pencetak imageCLASS, kesemuanya menawarkan fungsi pengimbas secara menyeluruh dan teliti dengan hasil tona kecerahan terbaik.

Bagi kemudahan kawalan operasi pula, pencetak-pencetak mono-laser dilengkapi paparan LCD dengan antara muka navigasi mudah sementara untuk model color-laser, ia ditawarkan skrin LCD TFT berwarna 3.5 inci dan bebola skrol.

Tidak terhad setakat itu, pencetak-pencetak imageCLASS turut hadir bersama keupayaan operasi pengimejan yang efisien dan fleksibel.

Ia termasuk mengimbas dan mencetak dua muka depan dan belakang daripada dokumen asli kepada dua muka depan dan belakang pada dokumen salinan secara automatik.

Menerusi teknologi On-Demand Fixing Technology pula, peranti mesin cetak itu hanya mengambil masa pemanasan hanya 10 saat sebelum memulakan operasi percetakan.

Sesuatu yang unik, rangkaian mesin cetak imageCLASS merupakan produk mesra alam kerana dilengkapi teknologi Typical Energy Consumption (TEC).

Dari segi rekaan pula, ia mempunyai bersesuaian diletakkan pada ruang kerja yang kecil dan ringkas.

Maklumat lanjut mengenai model-model berkenaan boleh diperolehi melalui laman web www.canon.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: