Sunday, January 30, 2011

Perkahwinan mewah gipsi

UMPAMA PUTERI... Sam   di hari perkahwnan mereka yang ditayangkan dalam rancangan Big Fat Gypsy Wedding.
UMPAMA PUTERI... Sam di hari perkahwnan mereka yang ditayangkan dalam rancangan Big Fat Gypsy Wedding.

BUKAN satu, tetapi dua perkahwinan diraja yang dinantikan oleh rakyat Britain tahun ini. Namun, rancangan televisyen, My Big Fat Gypsy Wedding yang kembali ditayangkan menerusi Saluran Empat televisyen negara itu mungkin boleh menyebabkan rakyat Britain terlupa seketika akan perkahwinan diraja berkenaan.

Seperti tahun lalu, filem mini terbitan Cutting Edge itu ini mendedahkan majlis perkahwinan mewah antara pasangan muda gipsi.


Namun kali ini, ia menayangkan lebih mendalam tradisi dan gaya hidup masyarakat itu, daripada Perjamuan Suci pertama hingga bagaimana seorang kanak-kanak perempuan masyarakat itu diasuh hinggalah hari perkahwinan mereka.

  • Foto

    SEMPIT... Sam bergelut untuk berjalan menuju ke pentas dalam gereja.

  • Foto

    MENARIK...pengiring pengantin perempuan.

  • Foto

    KLASIK... kereta kuda ini hampir sama dengan yang digunakan oleh Katie Price ketika berkahwin dengan Peter Andre pada 2005.

  • Foto

    LATIHAN... Magarita dengan pakaian seperti pengantin.

Pada mulanya, hanya satu siri dirancang untuk disiarkan tetapi kemudian ia dikembangkan kepada enam bahagian dan ditayangkan pada waktu puncak.


Dan agak mengejutkan, My Big Fat Gypsy Wedding mendapat sambutan luar dugaan, meningkatkan kadar kepopularan tertinggi pertama Saluran Empat sejak hari kegemilangan Big Brother pada 2008.


Satu daripada yang paling menarik dan boleh memukau penonton ialah episod menunjukkan perkahwinan pelayan baru, Sam Norton, 17, minggu lalu.Tidak seperti kebanyakan gadis yang ditunjukkan sebelum ini, yang memang sejak lahir terdedah dengan budaya gipsi, Sam adalah orang luar yang berkahwin dengan lelaki masyarakat berkenaan.


Bagaimanapun, ia tidak menyekatnya daripada mengamalkan tradisi bakal keluarga suaminya, termasuk mengenakan pakaian pengantin mewah.“Memandangkan saya bukan gipsi, semua tetamu menjangka saya akan berpakaian sederhana untuk hari perkahwinan saya. Namun saya mahu mengamalkan tradisi mereka untuk membuktikan saya seorang daripada mereka,” katanya.


‘Tradisional’ itu bermakna Sam akan mengenakan pakaian seperti puteri dalam cerita pari-pari. Pakaian pengantinnya memang menakjubkan, berwarna merah jambu dan seberat 88 kilogram serta boleh menyala dalam gelap di samping dilekatkan dengan gambar rama-rama yang seolah-olah terbang.


Sam enggan menyatakan jumlah yang dibelanjakan keluarganya untuk pakaian itu kerana masyarakat gipsi tidak bercakap mengenai wang. Namun Sam mengakui harganya beribu-ribu paun.


“Saya terpaksa membalut tubuh dengan pad sebelum menyarung pakaian itu. Bagaimanapun, ia tetap menyebabkan luka pada pinggang saya dan calar balar pada beberapa bahagian badan lain,” katanya.


Kerana dia tidak boleh ke tandas selepas mengenakan pakaian itu, Sam tidak minum sepanjang hari, kecuali ketika majlis minum ucap selamat.


Kerana bimbang pakaian itu mencetuskan masalah, termasuk mungkin terbakar, perekanya, Thelma, terpaksa membawa pemadam api ke majlis jamuan kerana bimbang kemungkinan berlaku sesuatu yang tidak diingini.


“Kami tidak dapat memastikan ia selamat,” kata Thelma.


Kanak-kanak perempuan gipsi digalak bercita-cita untuk berkahwin sejak muda lagi.


Dalam episiod lain, rancangan itu menunjukkan kanak-kanak lapan tahun, Magarita bersiap sedia untuk majlis Perjamuan Sucinya yang pertama.


Penonton dapat melihat bagaimana ibunya menggincu bibirnya sebelum dipakaikan dengan pakaian hampir serupa dengan pakaian pengantin Sam, yang beratnya hampir dua kali ganda berbanding berat tubuhnya.


Majlis seumpama itu dilihat sebagai latihan berpakaian untuk hari perkahwinan kanak-kanak gipsi.


Episod itu juga menunjukkan Josie, seorang lagi gadis gipsi yang menetap di barat London, bersiap sedia untuk berkahwin dengan Swanley.


Remaja belasan tahun itu menceritakan bagaimana dia berkenalan dengan tunangnya menerusi Internet. Mereka bertemu hanya sekali, Februari tahun lalu.


“Ia cinta pandang pertama,” katanya.


Hanya dua bulan selepas itu, Swanley melamarnya dan mereka berkahwin Julai lalu dengan fesyen tradisional gipsi.


Dan perkara pertama yang dirancang oleh Josie ialah pakaian pengantinnya.


“Setiap gadis mahukan pakaian pengantin terbaik kerana anda hanya memakainya sekali seumur hidup.


“Anda mahukan pakaian yang seperti ini atau pakaian seperti itu kerana sejak kecil anda berangan-angan untuk memakainya dan merasakan diri anda sebagai puteri,” katanya.


Berkahwin muda adalah perkara biasa dalam masyarakat yang menganggap gadis yang berusia 20 tahun sudah lanjut usia. Tidak hairanlah ramai gadis gipsi berkahwin sebaik menyambut ulang tahun ke-16.


Pengantin perempuan gipsi dijangka dara pada hari perkahwinan mereka dan mereka berkahwin untuk sepanjang hidup.


Dalam masyarakat itu, perkataan cerai tidak pernah didengar dan wanita tidak dibenarkan bekerja. Bagi kebanyakan mereka juga, kanak-kanak perempuan yang bersekolah dianggap sebagai ‘buang masa’.


Ia mungkin sesuatu yang tidak berlaku di semua masyarakat gipsi, tetapi berdasarkan bukti itu, kanak-kanak perempuan dilihat mendapat layanan rakyat kelas dua dan berdepan masalah dalam menjalani kehidupan seharian pada masa depan.


Thelma, tukang jahit dari Liverpool yang menjahit pakaian fantasi untuk pengantin gipsi menceritakan perbualannya dengan seorang gadis kaum itu mengenai satu kes penderaan rumah tangga.


“Mungkin si isteri melakukan sesuatu yang sama,” kata gadis gipsi itu.


Ia sudah pasti membuat orang lain berfikir, di sebalik pakaian pengantin mewah, tersembunyi sesuatu yang berbeza, seorang kanak-kanak perempuan yang hidup hampir dalam kurungan sehingga hari perkahwinan mereka.


Tak hairan, untuk sehari dalam hidup, mereka dibenarkan berpakaian seperti puteri dan menjadikan impian satu kenyataan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: